Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mempunyai hak untuk menuntut sebarang ‘harta sepencarian’ selepas keluar daripada Pas.
Sambil menyifatkan tuntutan Amanah itu sebagai tidak masuk akal, beliau berkata, parti tersebut sepatutnya tidak menimbulkan soal tersebut kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai apa-apa harta untuk dituntut daripada Pas.
Pada masa sama, beliau juga menegaskan bahawa dua markas di Pontian dan Bakri, Johor adalah milik Pas kerana telah diwakafkan kepada parti itu selama ini.
“Mana ada harta sepencarian, harta Pas, harta Pas, tidak ada kena-mengena dengan Amanah. Saya juga tidak faham apa maksud dia (Amanah) mengenai ‘harta sepencarian’.
“Amanah juga tidak mempunyai hak menuntut apa-apa kerana keluar daripada parti (Pas). Tindakan Amanah itu tidak betul, kalau begitu semua orang yang keluar daripada parti bolehlah tuntut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

