Beberapa Ketua UMNO Bahagian terus mencabar ahli perniagaan, Jho Low supaya segera pulang ke negara ini dan memberi penjelasan berhubung isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib menegaskan, tidak adil sekiranya Jho Low hanya memberi kenyataan menerusi media antarabangsa berhubung isu yang menyentuh kepentingan negara.
Katanya, komen Jho Low juga berbaur politik apabila menuduh pemimpin UMNO memutar belit isu berkaitan 1MDB.
“Kami desak Jho Low supaya segera pulang ke Malaysia, beri penjelasan kepada PAC mengenai isu 1MDB, kita mahu lihat sama ada beliau terlibat atau tidak.
“Kalau benar ingin ‘bantu’, pulang ke tanah air dan beri penerangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jho Low dalam wawancara bersama akhbar Financial Daily mendakwa dia dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menutup semua kepincangan yang berlaku dalam 1MDB selain menyifatkan ahli UMNO sebagai ‘kaki putar belit’.
Turut senada ialah Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendesak ahli perniagaan itu bertanggungjawab terhadap rakyat negara ini yang mula resah dengan kenyataannya yang menuduh UMNO terlibat dengan permasalahan 1MDB.
“Selaku rakyat Malaysia, kita mahu Jho Low bersikap gentleman. Jangan di luar negara berani ‘melalak-lalak’ dengan pelbagai tuduhan liar terhadap UMNO terlibat dengan permasalahan 1MDB.
“Jadi, sekarang kita mahu Jho Low bertanggungjawab sepenuhnya, ‘berani buat, berani tanggung,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi berlata, Jho Low kini berada dalam keadaan terdesak hingga sanggup menuduh ahli UMNO sebagai ‘kaki putar belit’.
Katanya, kenyataan mengelirukan itu dibuat dengan harapan ia dapat meredakan isu yang sedang melanda 1MDB.
“Tetapi perbuatannya itu tidak menyelesaikan masalah sebaliknya telah menambah suasana kurang senang dalam isu 1MDB.
“Jika percaya bahawa dia di pihak yang benar, mengapa tidak beritahu pada pihak yang sedang melakukan siasatan terhadap 1MDB seperti Ketua Audit Negara,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin pula membidas Jho Low kerana mengaitkan 1MDB dengan UMNO sedangkan bukan semua ahli parti itu mengetahui tentang syarikat berkenaan.
“Dia (Jho Low) seharusnya lebih spesifik, mengapa dia menyebut UMNO. Ini akan menyebabkan ramai ahli dalam parti yang tidak ada kena mengena dengan permasalahan itu akan terasa.
“Jadi, segera tampil beri penjelasan kerana kita ingin tahu kenapa beliau membuat kenyataan sedemikian. Kita faham berhubung 1MDB ini dan telah pun diberi penjelasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.--UM
No comments:
Post a Comment