Kini kelihatan UMNO dan PAS sudah boleh berganding bersama di atas rintihan rasa sebagai umat Islam yang cintakan Rasulullah SAW. Filem murahan, Innocence of Muslims yang begitu biadab terhadap kemuliaan Rasulullah SAW telah ditentang hebat oleh umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Jika dulunya ajakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada PAS supaya meninggalkan pakatan pembangkang dan bersatu bersama UMNO demi mempertahankan kuasa umat Islam, kini kelihatan ukhwahnya semakin positif. Kenangan berpeluknya dua Presiden parti Melayu yang menjadi teras umat Islam di negara ini, UMNO dan PAS, Najib dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika kempen pilihan raya Sarawak harus dijadikan sandaran membina ‘doktrin silaturahim’ seagama dan seMelayu. Kini pencemaran sejarah dalam usaha menghina Rasulullah SAW yang dilakukan penduduk di Barat, harus dijadikan pedoman untuk umat Islam negara ini berpadu dan tidak sesekali terjebak dengan perangkap musuh yang mahu memusnahkan satu persatu kerajaan di negara Islam berdaulat. Silaturahim yang terbina ketika saling cuba mempertahankan maruah Rasulullah SAW ini seharusnya sentiasa mekar dalam kehidupan berpolitik negara.
UMNO, PAS parti umat Islam
UMNO dan PAS harus ingat mereka adalah parti dominasi sokongan umat Melayu dan tidak salah jika memperjuangkan nasib Melayu, di bumi Melayu itu sendiri. Lihat saja definisi Melayu yang tercatat kemas dalam Perlembagaan Persekutuan yang diterima pakai sejak 1957 yang mana Melayu dikanunkan satu cirinya sebagai ‘seseorang yang menganut agama Islam’. Ertinya secara kanun dan akidahnya, Perkara 160 meletakkan Melayu sebagai bangsa teras Islam yang dilindungi Perlembagaan Negara, dan inilah yang diperjuangkan UMNO sehinggakan Islam berjaya dikanunkan dan dilindungi secara khusus.
Soal kekukuhan Islam di negara ini tidak boleh dinafikan daripada dikaitkan dengan kehadiran umat Melayu dalam persada politik negara. Namun, jika enam juta undi Melayu yang merangkumi 51 peratus ini berpecah dan ada daripada kalangan umat ini sanggup pula menjadi ejen dan jentera kepada parti bukan Melayu yang kelihatan ‘memusuhi’ perjuangan dan perpaduan Melayu, maka nilai undi Melayu sudah tidak penting.
Bahkan mereka yang sanggup menjadi jentera kepada politikus anti-Melayu dan anti-Islam mampu disifatkan sebagai liabiliti kepada perjuangan Melayu dan Islam. Apa guna jika ada parti yang katanya berteraskan Islam tetapi padahnya membawa permusuhan sesama umat?
Apakah ertinya perjuangan politik jika agama serta bangsa tertindas dan tanah air pula akhirnya jatuh kepada golongan yang anti-Melayu dan anti-Islam. UMNO dan PAS sudah sekian lama ‘bermusuh’ dalam politik, kini tiba masanya untuk dua parti sokongan teras Melayu ini berbaik sangka serta duduk semeja berunding dalam hal strategik orang Melayu.
Fokus kepada survival Melayu perlu dibincangkan bersama. Mungkinkah sayangnya kita kepada Nabi SAW yang terpapar menerusi perarakan demi perarakan membantah filem itu membantu sesama Islam bersatu di negara kita.
Hilang kuasa
Alangkah bagusnya jika UMNO yang kini menjadi teras Barisan Nasional (BN), dicontohi PAS dengan bertindak atas kapasiti sama menjadi teras dan dominan dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jika ini berlaku, ia akan menyejukkan suasana semasa yang kian kritikal, khususnya soal susutan bukan saja suara, malah kuasa Melayu dalam aspek kehidupan bernegara. Sudahlah ekonomi dikuasai komuniti bukan Melayu, bangsa Melayu pula terjerat gejala sosial dan ramai belia leka daripada perbincangan survival bangsa, kuasa politik yang ada pula dilihat semakin runtuh dan mula dikuasai anasir asing.
Penulis khuatir mungkin untuk mendapatkan undi semata-mata, UMNO dan PAS hilang kuasa akibat pertembungan sesama Melayu dan Islam, yang akhirnya memenangkan DAP sebagai jaguh baru politik negara. Jika UMNO dan PAS mampu berkompromi, maka agenda strategik Melayu dalam berpolitik akan mampu dibina sebagai ‘doktrin silaturahim Melayu’ demi memastikan agenda umat diletakkan di hadapan politik kepartian.
Secara strategik jangka panjangnya, kini tiba masa untuk kita selami nasib umat Islam yang terasnya Melayu di Malaysia. Harus umat Islam berfikir bahawa bentuk penjajahan alaf ini adalah menerusi kertas undi dan mainan politik, pensil yang digunakan untuk mengundi boleh menjadi alat pembinasa bangsa jika undi itu tidak lagi memberikan kuasa kepada bangsa untuk memerintah negara. UMNO dan PAS harus meletakkan doktrin silaturahim seagama dan sebangsa sebagai satu galakan untuk bersetia kepada agenda Islam dan Melayu sebagai teras tindakan politik masing-masing.
Sudah tiba masa untuk Melayu bersatu demi mempertahankan kelestarian agama dan bangsa di tanah air tercinta ini seperti ketika berlakunya pencemaran maruah umat Islam dengan tayangan Innocence of Muslims yang biadab itu.
3 comments:
Mudah-mudahan dapat diusahakan lah supaya PAS dan UMNO booleh bersatu duduk semeja. Inilah harapan orang2 melayu peringat bawahan sebagai orang biasa. Kawan2 kita juga, tak kira dari UMNO mahupun PAS, kita hari2 jumpa dlm surau & masjid salam-salaman lepas solat jemaah, kenduri-kendara kita gotong royong satu kampung, tak ada masalahnya. Yang dok jadi masalah skrg ni adalah sikap pemimpin2 melayu dlm parti2 politik berkenaan yang tak nak lakukan usaha ke arah penyatuan orang melayu. Bergaduh ungkit perkara2 lama tak habis2...hingga generasi muda skrg ni pun tak faham, kenapa PAS dan UMNO tak boleh bertolak ansur langsung untuk menyatukan orang melayu?
Rasa2nya gulungan marhaen lebih peka...tetapi sebahagian gulungan elit Pimpinan PAS ni sangat taksub dan begitu sayangkan jawatan dan populariti...itu yang jadi penghalang penyatuan murni ni...
Marilah bersama-sama kita doakan PAS dan UMNO (serta PBB) bersatu untuk peyatuan agama Islam. Amin. :D
Post a Comment