Menjelang hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Khamis ini, PKR seperti berasa selesa untuk menang dengan mudah. Dari awal begitulah keyakinan mereka kerana Permatang Pauh adalah wilayah PKR.
Bagi PKR, DAP dan disokong oleh segelintir pemuka Pas, calon mereka Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah aset yang tiada taranya. Wan Azizah adalah harga mati walaupun dibantah oleh akar umbi Pas.
Bagi mereka, seperti selalunya bantahan akar umbi dan kumpulan ulama Pas boleh diuruskan dengan mudah menerusi mekanisme biasa – tahaluf siyasi. Selama ini pun Pas terbukti boleh digula-gulakan dengan slogan adil dan saksama serta jalan ke Putrajaya.
Di atas kertas setakat ini, Wan Azizah masih mendahului. Mungkin atas faktor itu mereka bergerak suam-suam kuku sehingga ada jurukempen DAP dilaporkan mengancam untuk menarik diri kerana kecewa dengan kesungguhan jentera PKR.
Tanpa manifesto khusus, PKR terlebih bangga mempertaruhkan rekod Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi pengundi sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya sumbangan Wan Azizah selama menjadi wakil rakyat sama ada di Permatang Pauh dahulu dan sejak setahun lalu di Kajang.
Mungkin atas faktor keupayaan calon ini yang dipertikaikan, maka diuar-uarkan dalam ceramah Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa kedua-dua pemimpin negeri ini akan saling menjaga kawasan yang diwakili oleh Wan Azizah.
“Kalau Azmin kata nak jaga Kajang, saya juga akan jaga Permatang Pauh untuk Kak Wan,” kata Guan Eng dalam satu ceramah yang dari satu aspek membayangkan kemampuan sebenar Wan Azizah.
Analisis awal yang tergambar dalam pilihan raya kecil kali ini selain untuk mengangkat semula “seorang” boneka yang menolak hudud dan mengaibkan pimpinan tertinggi sekutu, ialah selama ini jentera PKR hanya bergantung kepada kekuatan akar umbi Pas.
Di wilayah mereka sendiri, ceramah PKR dan DAP di merata-rata tempat hambar tanpa gegaran takbir simpatisan Pas. Tidak benarlah momokan PKR dan DAP selama ini kononnya Pas yang akan kehilangan lebih banyak kerusi jika meninggalkan pakatan pembangkang.
Berdehem
Lihatlah baru sahaja akar umbi Pas berdehem mahu lakukan boikot, jentera pakatan pembangkang sudah lintang-pukang. Jelaslah jentera PKR hanya di awang-awangan, gah di forum dan seminar.Yang selama ini berpanas dan berhujan meraih undi ialah jentera Pas.
Jadi, pilihan raya kecil kali ini bakal memberi mesej kepada PKR dan DAP supaya menghormati Pas selayaknya. Pilihan raya ini bakal menyedarkan PKR dan DAP supaya tidak terus-terusan bersikap biadab.
Ini supaya, kelak mereka tidak mudah menghina pimpinan ulama yang selama ini menjadi paksi kewujudan Pas. Supaya, kelak mereka tidak suka-suka menghumban perjuangan asas hukum hudud Pas. Supaya, kelak mereka tidak lagi menakut-nakutkan Pas dengan ugutan dan ancaman.
Nyatalah jika sikap keras para ulama dan akar umbi ini dipertahankan, Pas akan muncul sebagai sebuah entiti politik yang bermartabat dan bermaruah di mata rakyat khususnya umat Islam dan juga PKR dan DAP.
Tiada siapa boleh menghentikan autokratik dan egoistik PKR dan DAP. Hanya ahli Pas dan simpatisan parti ini yang boleh melakukannya. Hanya mereka yang boleh mengangkat semula maruah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah diaibkan oleh PKR dan DAP.
Dengan anggaran kekuatan ahli dan simpatisan berjumlah 10,000 orang di Permatang Pauh, Pas boleh mengajar keangkuhan PKR dan DAP ini. Bayangkan keangkuhan mereka, untuk memohon maaf sesama parti sekutu pun menjadi satu masalah besar.
Amat menarik untuk dilihat di Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR ini akan menentukan nilai sebenar Wan Azizah. Apakah nilainya masih seperti dulu, seperti sebelum Pas menolak beliau sebagai calon Menteri Besar Selangor atas alasan tidak layak?
Semakin hari mendekati tarikh penting 7 Mei ini, nilai Wan Azizah dilihat semakin menurun. Benar, beliau masih mendahului dan berkemungkinan akan sekali lagi menang, tetapi dijangkakan dengan majoriti lebih rendah di bawah 5,000 undi.
Hal ini juga banyak bergantung kepada kesungguhan jentera BN yang kali ini menampakkan semangat yang berbeza. Dalam kepayahan menjelaskan peri pentingnya cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada kelangsungan negara yang telah dimanipulasikan oleh pakatan pembangkang, jentera BN dilihat terus gigih.
Dengan MIC berjanji untuk memaksimumkan perolehan undi daripada kira-kira 3,000 pengundi India, semua ini tidak mustahil untuk berlaku. MCA dan Gerakan pula tidak perlu melakukan banyak kerja, kecuali meyakinkan 4,000 ahli mereka sendiri untuk mengundi Suhaimi Sabudin.
Kemudian, nantinya kita akan sama-sama menentukan nilai sebenar seorang Wan Azizah.
Amat menarik untuk dilihat di Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR ini akan menentukan nilai sebenar Wan Azizah. Apakah nilainya masih seperti dulu, seperti sebelum Pas menolak beliau sebagai calon Menteri Besar Selangor atas alasan tidak layak? Semakin hari mendekati tarikh penting 7 Mei ini, nilai Wan Azizah dilihat semakin menurun.--UM
Utusan.
1 comment:
Yg hebatnya Wan Azizah ni ,ialah dia boleh buat-buat senyum juga tak kira dalam keadaan mana,walau pun tengah menipu pasal jam Omega.Rasa malu memang tak kelihatan langsung dari air muka dia.Memang dia isteri mithali,sanggup buat apa saja menigkut arahan suami walau pun dalam perkara yg munkar seperti membohongi rakyat.
Post a Comment