KUALA LUMPUR, 5 Disember - Ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan ramai pemimpin sebagai sungguh bersemangat dan menyuntik keyakinan baru kepada semua perwakilan dan rakyat secara keseluruhan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, ucapan Datuk Seri Najib mempunyai kelainan kali ini selain menyampaikan mesej tertentu untuk difikirkan dan diteliti oleh semua pemimpin dan jentera serta ahli-ahli parti.
Menurutnya, BN telah mengakui ada kelemahan diri, tetapi yang paling penting sekarang adalah suntikan semangat dan keyakinan baru serta bekerja kuat demi rakyat.
"Ucapan Pengerusi tadi amat menyentuh perasaan saya, saya yakin semua komponen BN selepas ini pulang dengan semangat baru.
"Saya tegaskan bahawa kita berkerja keras sekarang bukannya untuk Najib tetapi sebenarnya untuk rakyat, jadi kita perlu ada keyakinan yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas ucapan Pengerusi pada Konvensyen BN di Wisma MCA sebentar tadi.
Mustapha yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan turut menegaskan konsep 1Malaysia patut diteruskan kerana rakyat sudah menerimanya dengan baik sekali.
Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pemimpin agar tidak mensia-siakan sokongan yang mula diberikan kepada BN seperti dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi baru-baru ini.
"Perkara paling utama ialah kita perlu dahulukan rakyat dan bukannya individu ataupun pemimpin selain menjaga kepentingan semua kaum diseluruh negara," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong berasa kagum dengan ucapan Pengerusi kerana beliau mampu berucap dalam pelbagai bahasa.
Menurutnya, ucapan tersebut amat baik sekali kerana berjaya menghuraikan fakta sejarah dan cerita sebenar disebalik penubuhan Perikatan serta perkara yang perlu dikhuatiri oleh BN pada hari ini.
"Kita perlu ambil iktibar dari pilihanraya umum yang lalu dan mengorak langkah kehadapan demi kemakmuran bersama. Paling penting kini, kita perlu utamakan masalah rakyat, dan jangan sesekali berputus asa," katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment