Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. al-Baqarah (2) : 120

Friday, May 09, 2014

KISAH HARTA KARUN PULAU NANGKA


KISAH harta karun yang tersimpan di Pulau Nangka berdekatan Pulau Besar di Melaka, bukan lagi cerita baharu sebaliknya ia sudah berkisar sejak lebih 30 tahun lalu.

Sebenarnya cerita mengenai harta karun yang didakwa bernilai berbilion ringgit itu telah menjadi buah mulut penduduk di Serkam, Pernu, Umbai dan sekitarnya sejak sekian lamanya.

Menurut cerita penduduk di situ, usaha untuk mencari harta tersebut telah lama dilakukan oleh pelbagai individu namun tidak ada siapa antara mereka sehingga kini menemui harta tersebut.

Ada yang mengatakan harta itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana berada di alam lain. Malah ada pula yang mendakwa telah melihat harta tersebut tetapi tidak berupaya membawanya keluar.

Tidak kurang pula mengaitkan harta karun tersebut dijaga oleh makhluk halus termasuk jin yang kedengarannya seperti cerita dongeng kerana melibatkan hal-hal spiritual.

Namun begitu tidak dinafikan situasi itu wujud apa lagi harta yang tersimpan mungkin berusia lebih 500 tahun dahulu.

Ada juga alim ulama tersohor turut dikaitkan pernah dibawa oleh seorang nelayan dari jeti Pantai Siring ke Pulau Nangka untuk membawa keluar harta berkenaan.

Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya apabila tokoh itu mendakwa dapat melihat harta yang begitu banyak dan bernilai tinggi tetapi gagal membawa keluar kerana dijaga oleh pihak lain.

Terlalu banyak versi berkaitan harta karun yang didakwa tersimpan di Pulau Nangka yang masih belum terungkai sejak 30 tahun lalu sehingga hari ini.

Malah tidak ada satu bukti sahih yang meyakinkan menunjukkan harta itu wujud atau sebaliknya.

Ia sekadar cerita mulut ke mulut yang sering kali tenggelam timbul tetapi tidak ada kepastian jika benar harta itu dianggarkan cukup bernilai.

Pulau Nangka telah diwartakan sebagai hak milik Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sejak 1997 berikutan tersebarnya cerita harta peninggalan di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang mempunyai nilai yang cukup tinggi.

Sejak itu, cerita berkaitan harta karun itu tidak timbul lagi malah di kalangan penduduk berhampiran Serkam, Pernu dan Umbai, sudah lali mendengarnya.

Namun kisah misteri Pulau Nangka ini kembali bergegar apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mendedahkan bahawa harta karun yang tersimpan di Pulau Nangka dianggarkan berbilion ringgit.

Sebuah syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. diberi tanggungjawab untuk kerja-kerja pencarian harta karun melalui kontrak selama empat bulan dari Januari hingga 30 April lalu.

Pulau Nangka bukan sebesar mana pun dengan pantainya hanya sepanjang lebih kurang 500 meter dan selebihnya adalah kawasan berbatu tetapi dalam tempoh empat bulan itu, tidak menampakkan hasilnya.

Ekoran kenyataan tersebut, cerita yang berkisar sejak 30 tahun lalu muncul semula. Wakil media cetak dan elektronik mula berduyun-duyun ke Pulau Nangka untuk melihat dari dekat harta yang bakal ditemui.

Hampir setiap hari sekumpulan wartawan menaiki bot ke Pulau Nangka menunggu dari pagi hingga ke petang meninjau kerja-kerja pencarian harta karun tetapi hampa kerana tiada khabar gembira.

Daripada kelompok wartawan yang besar menjadi semakin kecil yang masih setia dan yakin kewujudan harta karun tersebut tetapi sehingga hari ini belum menjadi realiti.

Bagi penduduk di sekitar Serkam, Pernu dan Umbai, kisah pencarian harta karun yang dilakukan oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd., tidak langsung menjadi bualan penduduk setempat.

Di warung-warung atau pun kedai kopi, tidak ada yang berminat bercerita tentangnya mungkin sudah lali mendengar cerita yang sama sejak 30 tahun lalu.

Bagi mereka, harta karun yang didakwa tersimpan di Pulau Nangka bukan lagi cerita baharu. Sudah diulang-ulang sekian lama namun tidak nampak bayangnya.

"Kalau ada harta karun...dah lama kami (nelayan) kaya. Kami saban hari lalu di Pulau Nangka untuk menangkap ikan dan tidak ada yang pelik berlaku.

"Kalau dengar cerita orang cari harta karun banyak dah saya dengar tetapi tidak ada satu pun harta ditemui. Biarlah mereka nak cari kot-kot jumpa, rezeki merekalah," kata salah seorang nelayan berusia dalam lingkungan 50-an.

Berbalik kepada pencarian syarikat yang diberi mandat oleh kerajaan negeri, usaha pencarian yang mencuri tumpuan orang ramai tidak menjadi kenyataan walaupun kerja-kerja menebuk gua dan bongkah batu mencapai 90 peratus namun hasilnya tidak membuktikan harta itu.

Hanya pada malam terakhir tempoh syarikat itu berakhir, kakitangan syarikat terbabit menemui dua keping syiling lama yang didakwa milik zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Begitupun dalam satu sidang akhbar selepas penemuan tersebut, Idris melahirkan rasa tidak begitu yakin dua duit syiling lama itu datangnya dari Pulau Nangka.

"Saya tidak begitu yakin dua objek berbentuk syiling lama yang ditemui itu datangnya dari kawasan tersebut (Pulau Nangka).

"Ada kemungkinan objek itu adalah sesuatu yang tercicir atau pun dicicirkan. Sehubungan itu, perkara ini akan disiasat dengan terperinci," katanya.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said menafikan duit syiling yang ditemui pekerjanya sengaja diletakkan atau dibawa dari luar.

Duit syiling tersebut telah diambil oleh Perzim sebelum dihantar ke Jabatan Warisan Negara untuk dianalisis bagi mengesahkan kesahihannya berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sebuah syarikat lain telah diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk mengambil alih kerja mengesan dan mencari harta karun bagi tempoh empat bulan lagi.

Apakah syarikat yang baru dilantik ini akan menemui harta karun Pulau Nangka? Nampaknya kita terpaksa menunggu lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Portal Berita Semasa