SEKADAR HIASAN |
LAHAD DATU - Seorang lelaki yang mengaku dirinya diberi kuasa oleh Sultan Sulu untuk mengurus orang Suluk yang berada di daerah ini diberkas di Kampung Long Danau, Jalan Silabukan, kira-kira 16 kilometer dari bandar Lahad Datu, semalam.
Lelaki berusia 57 tahun itu, ditahan jam 5.30 pagi melibatkan operasi khas diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berdasarkan maklumat Bahagian Pertahanan Esscom.
Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek berkata, lelaki itu ditahan kerana memasang bendera Kesultanan Sulu yang dikhuatiri mempengaruhi semangat patriotik orang Suluk yang menetap atau menjadi warganegara di negeri ini.
Beliau tidak memberi butiran lanjut identiti lelaki berkenaan yang hanya memiliki salinan kad pengenalan atas faktor keselamatan.
"Pihak Esscom mengesan bendera itu dipasang di rumah lelaki berkenaan semasa anggota keselamatan Esscom diketuai Pegawai Memerintah 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) membuat rondaan kira-kira jam 9 malam Ahald lalu.
“Anggota kita yang membuat rondaan melihat ada bendera tersebut dipasang di salah satu rumah di kampung itu yang menimbulkan rasa curiga dan berikutan itu, anggota keselamatan melaporkan perkara itu kepada Bahagian Pertahanan Esscom dan seterusnya
memaklumkan Briged Esscom berpangkalan di Cenderawasih (Felda Sahabat).
“Anggota pertahanan dan keselamatan Esscom membabitkan satu platun masing-masing dari RAMD, komander tentera dan VAT 69 (polis) mengepung perkampungan itu sebelum menyerbu rumah disyaki,” kata Mohammad dalam satu kenyataan.
Susulan tangkapan, suspek dibawa ke ibu pejabat polis daerah Lahad Datu untuk siasatan.
Long Danau terletak tidak jauh dari Kampung Tanduo yang merupakan medan pendaratan kumpulan penceroboh atau pengganas Sulu pada Februari tahun lalu. - Bernama
No comments:
Post a Comment