Sudah dapat diramal tindakan yang diambil oleh parti PAS dalam menangani masalah dan isu agama yang dipermainkan oleh parti seperjuangan mereka, DAP.
Dengan mudah, Dewan Ulama PAS sudah pun memaafkan Pengerusi DAP, Karpal Singh bersabit isu gesaan Karpal yang mahukan pertubuhan dan parti politik berasaskan agama dan kaum termasuk PAS dibatalkan.
Kemaafan itu dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib sebagai langkah untuk untuk berdakwah dan mengajar Karpal untuk memahami agama Islam.
Secara tidak langsung, Harun Taib berpendapat dapat menarik Karpal untuk mendalami Islam dengan lebih mendalam memandangkan pada pandangan Harun Taib, Karpal terlalu jahil tentang Islam dan disebabkan itu, Karpal berani mengeluarkan kenyataan walaupun yang mengguris hati ahli parti PAS.
Selain itu, EXCO Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib menyatakan gembira PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat kerana dapat mengembangkan agama Islam kepada ahli-ahli dan pemimpin DAP.
Afnan mempunyai impian, mahu melihat dan mendengar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengucapkan syahadah dan memeluk agama Islam.
Hakikatnya, impian Harun Taib dan Afnan ini adalah satu mimpi yang amat sukar untuk direalitikan. Ini kerana, agenda DAP cukup jelas untuk dilihat tentang agama Islam.
Selama ini, DAP tidak pernah berminat untuk mengetahui tentang Islam apatah lagi menghormati parti Islam seperti PAS.
Buktinya, lihat sahaja bagaimana DAP berkeras mahu menggunakan kalimah Allah S.W.T dalam kitab Bible mereka dalam versi Melayu.
Sudah cukup jelas dan banyak kali diterangkan oleh banyak pihak tentang akibat permintaan DAP itu yang nyata tujuannya hanya mahu memporak-perandakan umat Islam di negara ini.
Memang benar individu seperti Guan Eng dan Karpal layak dikatakan sebagai jahil tentang Islam. Namun, itu tidak bermakna mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa menjaga sensitiviti umat Islam dan agama Islam itu sendiri.
Sudah lama DAP berada di bawah PR dengan PAS dan apabila ketika ini PAS mencuba pendekatan mahu mentarbiah DAP untuk memahami Islam, tidakkah itu menunjukkan DAP sudah semakin melampau mencerca dan menghina serta menjatuhkan maruah parti PAS sehingga PAS pula yang terhegeh-hegeh untuk cuba mengajar DAP?
Jelas, DAP tidak pernah mencuba sendiri untuk memahami Islam walhal sudah bekerjasama dengan PAS untuk tempoh yang agak lama dan hubungan DAP dan PAS terlalu akrab.
Yang DAP tahu hanyalah terus-terusan menghina Islam secara halus dan ia tidak disedari oleh PAS sendiri.
Impian Harun Taib dan Afnan ini tidak akan tercapai sampai bila-bila kerana mereka adalah ahli parti yang kukuh memperjuangkan perkauman dalam parti DAP. Bukan seperti dakwaan Karpal yang menuduh UMNO, BN, MCA dan MIC adalah parti perkauman.
Dikhuatiri lama-kelamaan, impian mereka ini menjadi bahan lawak buat Guan Eng dan Karpal. Akhirnya, PAS juga yang akan mendapat malu.--SUMBER
1 comment:
Yang boleh di maafkan utk berdakwah hanya yg selain dari Umno,kalau Umno tak salah pun tak boleh di maafkan.-Fatwa Pok Nik Ajis.
Post a Comment