Selesai sudah Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Shah Alam. Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mat Sabu kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Manakala kita dapati terdapat sedikit perubahan pada jawatan Naib-Naib Presiden apabila Mahfuz Omar tersingkir dan diganti oleh Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pun begitu, penulis kurang tertarik pada ucapan para pemimpin utama PAS yang berdegar-degar di atas pentas, kuat bunyi sembangnya namun tak ubah seperti “tong kosong”. Sebaliknya, penulis lebih tertarik untuk mengulas mengenai suara-suara perwakilan yang membawa mesej dari akar umbi parti itu.
Penulis tidak tahu sama ada para pemimpin PAS “take note” atau tidak mengenai suara-suara perwakilan. Namun setiap hari, ada saja dari kalangan wakil akar umbi itu yang marah, berang dan menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap rakan Pakatan Haram mereka, PKR dan DAP.
Dari utara semenanjung, hinggalah ke Johor dan Sabah, para perwakilan PAS kali ini benar-benar meluahkan kekecewaan akar umbi mengenai kedudukan PAS yang seolah-olah menjadi “barua” di mata DAP dan PKR. Malah dari ucapan perwakilan di peringkat sayap-sayap PAS juga terasa bahang kemarahan mengenai isu tersebut.
Perkara pokok yang cuba disampaikan oleh para perwakilan adalah mengenai imej PAS yang ternoda sejak bersama Pakatan Haram. DAP dan PKR jelas tidak menghormati PAS sebagai rakan kongsi kuasa di mana parti itu sering di”anaktiri”. Dijanjikan dengan “kemanisan”, namun akhirnya PAS merana perit diperkudakan.
Antara pertikaian yang disuarakan ialah mengenai para pemimpin PAS di Pulau Pinang yang terus menerus tidak diberi tempat di dalam kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah Lim Guan Eng, dasar-dasar perjuangan PAS yang di”obselete”kan secara sadis, tahaluf siyasi yang merugikan, hudud yang ditentang DAP dan PKR, serta kebimbangan dominasi Islam liberal dan Syiah di dalam parti itu.
Mungkin bagi memperlihatkan “rasa prihatin” dari kepimpinan PAS terhadap isu-isu tersebut, para pemimpin tetinggi parti itu cuba memujuk para perwakilan dengan kata-kata dan janji manis seperti sebelumnya.
Misalnya, Presiden PAS berjanji akan ke Pulau Pinang untuk menyelesaikan kemelut Kerajaan DAP dengan kepimpinan PAS negeri itu selepas berakhirnya Muktamar dan beliau berjanji akan melaksanakan hudud meskipun menyedari tindakan itu mendapat tentangan hebat dari DAP dan PKR selepas ini.
Persoalannya, mengapa perlu Presiden PAS turun mengadap Setiausaha Agung DAP di Pulau Pinang? Mengapa Presiden PAS sebagai “higher ranking leader” di dalam Pakatan Haram tidak panggil saja Guan Eng datang mengadap dan menjelaskan kemelut yang berlaku di Pulau Mutiara itu? Mulia sangatkah Guan Eng di mata PAS?
Kalau dulu Hasan Ali yang merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor boleh dipanggil mengadap Presiden dan kepimpinan PAS di peringkat Pusat bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan Kerajaan Pakatan Haram Selangor, mengapa pula Guan Eng diberi keistimewaan khas?
Kalau betul pun Presiden PAS tidak berkuasa untuk memanggil Guan Eng mengadapnya, kenapa pula Hadi tidak boleh meminta kepimpinan utama DAP dan PKR mengadakan mesyuarat khas bagi menyelesaikan kemelut tersebut?
Pada penulis, kalau Hadi merendahkan martabatnya mengadap Guan Eng kelak, tindakan itu juga mampu menjejaskan imej PAS di mata DAP. Sekaligus, ia akan menambah lagi rasa tidak hormat, pandang rendah dan terus menerus meletakkan kedudukan PAS di bawah kaki DAP dan PKR.
Apakah itu yang akar umbi PAS mahu? Bertentangan sekali tindakan itu jika dibandingkan apa yang dimahukan oleh akar umbi, bukan?
PAS akan tetap laksanakan hudud? Kalau difikirkan sejenak, memang sedap bunyinya. Penulis pun lega kalau PAS putuskan begitu. Tapi kalau difikirkan, keputusan itu kita sudah dengar sejak tahun 1990 lagi! Sekarang kita sudah dipenghujung tahun 2013, bukan? Ertinya, sudah hampir 23 tahun ungkapan itu dimomokan pada akar umbi PAS, tapi tidak juga dilaksanakan, bukan?
Kalau dulu PAS yang kononnya berlidahkan Islam begitu berani mengenepikan rasa berdosa dengan menipu akar umbi kononnya Kerajaan Persekutuan menolak perlaksaan hudud di Kelantan dan Terengganu, kali ini apa pula alasan mereka?
Dulu PAS tidak cerita pun pada akar umbi mereka mengenai draf hudud mereka yang tidak lengkap, tidak adil, tidak syumul dan memalukan Islam yang bersifat adil. Apakah kali ini PAS akan menggunakan terma “tahaluf siyasi” untuk tidak terus melaksanakan hudud?
Terang-terang DAP dan PKR menegaskan bahawa mereka tidak akan sama sekali bersetuju PAS melaksanakan hudud di Kelantan. Apakah PAS berani melanggar suara Karpal Singh, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim? PAS nak cari nahas? Beranikah PAS lawan bertekak dengan DAP-PKR dan seterusnya melaksanakan hudud tanpa restu sahabat “syaitan” mereka?
Untuk melaksanakan hudud, pada penulis, lebih baik PAS bermuzakarah dengan UMNO yang jelas mendaulatkan Islam secara istiqamah dan berkhikmah.
Kalau dulu draf hudud punya kelemahan, apa kata kalau PAS berbincang dengan ulama-ulama muktabar negara untuk mengatasinya dan melaksanakan hukum tersebut. Penulis yakin kalau kena dengan caranya, UMNO akan mengalu-alukan niat PAS itu, bukan?
Lagipun, UMNO tahu bagaimana nak jelaskan tentang sesuatu yang berkaitan dengan hak keistimewaan Islam di negara ini pada rakan-rakan parti komponennya. Penulis yakin, rakan-rakan parti komponen BN akan faham dan setuju sekiranya UMNO bijak menjelaskan kedudukan hudud yang mahu dilaksanakan. Apatah lagi kita semua tahu bahawa hukum Allah itu adil dan relevan di sepanjang zaman, bukan?
Justeru itu, penulis sarankan agar PAS tidak lagi bersifat retorik dan hanya menabur janji manis pada akar umbinya saja, tapi takut dan tunduk pada pada DAP dan PKR. Cuba kurangkan cakap dan laksanakan saja apa yang perlu diubah PAS. Itupun kalau betul PAS ikhlas dan jujur pada akar umbinyalah. Kalau PAS hanya sekadar beretorik, maka kekallah PAS seperti sebelumnya. Wallahu’alam…
1 comment:
Ini zaman ICT...rakyat dah boleh akses maklumat bila2 masa je... Pas jgn harap rakyat tak tau perkembangan politik semasa... rakyat peringkat akar umbi melihat bagaimana Pas bagai kerbau dicucuk hidung oleh kafir2 Dap dan PKR... Kalau pemimpin tertinggi Pas taknak dngr luahan penyokong akar umbi, takpe...kita lihat pru14 kelak...
Post a Comment