KUALA LUMPUR, 18 Jan -- Umno bukan sahaja parti politik yang memperjuangkan cita-cita kebangsaan Melayu, malah diakui sebagai sebuah parti yang konsisten dalam memartabatkan agama Islam, kata Duta Besar Iran ke Malaysia Profesor Dr Mohammed Mehdi Zahedi.
"Umno adalah parti Islam yang mempunyai kesinambungan kepimpinan dengan struktur yang jelas dan mampu mewujudkan suasana yang harmoni, bukan hanya di kalangan anggota beragama Islam, tetapi juga masyarakat keseluruhannya," beliau dipetik sebagai berkata oleh portal berita Umno Online semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat Umno hari Selasa.
Pada pertemuan tersebut, Tengku Adnan menjelaskan kepada duta berkenaan tentang perjuangan Umno untuk agama seperti yang termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan parti serta isu semasa membabitkan agama.
"Umno menghormati agama-agama lain dan masyarakat di Malaysia bebas untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, tetapi apa yang sangat ditekankan dalam konteks Islam ialah pengukuhan akidah agar tidak berlaku pemesongan," katanya.
Dalam pertemuan lebih sejam itu, Tengku Adnan juga menerangkan pemimpin Umno tidak bertolak ansur dalam soal akidah Islam, namun pada masa yang sama, percaya persefahaman dan kerjasama antara masyarakat majmuk mampu membentuk kesatuan dalam kepelbagaian.
Tengku Adnan turut menghuraikan sejarah penubuhan Umno pada 1946 dan perjuangannya dalam menuntut kemerdekaan, serta latar belakang yang membawa kepada penubuhan parti PAS oleh bekas anggota Umno pada 1955.
Dalam kunjungan ini, Dr Mohammed Mehdi turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Umno untuk bekerjasama dengan anggota Parlimen dan ulama Iran dalam rangka bertukar-tukar fikiran serta berkongsi pengalaman.
-- BERNAMA
Sent from my iPad
No comments:
Post a Comment