JOHOR BAHRU: Pelumba motosikal Moto3 negara Husni Aizat Abdul Malik, 20, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggang bertembung sebuah lori tiga tan di Kota Tinggi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Rahmat Othman berkata dalam insiden di Jalan Tanjung Buai-Teluk Sengat pada 8.30 pagi itu, motosikal Husni terbabas ketika melalui selekoh tajam sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori terbabit.
"Motosikal dinaiki Husni sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Gudang menghala ke arah Felda Air Tawar 1," kata ketika dihubungi.
Beliau berkata mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Air Tawar 2 namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan manakala pemandu lori berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Rahmat berkata ketika kejadian, keadaan cuaca adalah baik namun selekoh di lokasi kejadian tajam dan tidak mempunyai garisan tengah.
Beliau berkata siasatan awal menunjukkan nahas itu berpunca daripada motosikal terbabit.
Husni, dari Felda Air Tawar 1, merupakan bekas pelumba pasukan Touchline SIC-Ajo dan pernah beraksi dalam kejohanan CEV Repsol Moto3 di Sepanyol.
Menurut laporan media, Allahyarham sepatutnya memulakan musim kedua dalam kejohanan di Sepanyol tahun ini namun digugurkan pihak pengurusan pasukan berkenaan Mac lepas.
Husni juga pernah beraksi dalam SIC Ninja 250 R Cup yang menyaksikan Allahyarham mendapat tempat kedua selain Grand Prix Malaysia di bawah tiket 'wild card.'
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.