Ini kontroversi membabitkan syarikat penerbangan tambang murah Air Asia yang enggan berpindah ke lapangan terbang baru KLIA2 dan membuat kenyataan terbuka mengenai perkara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengatakan kenyataan Air Asia yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar baru-baru ini,"berbunyi kenyataan yang sombong,".
Beliau yang kini berada di Hanoi menegaskan AirAsia tiada pilihan melainkan berpindah ke KLIA2 seperti yang dijadualkan manakala Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pula tetap akan ditutup pada 9 Mei ini.
Menurut Najib, kerajaan menerusi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sedia mendengar dan meneliti sebarang masalah atau isu-isu dibangkitkan daripada syarikat penerbangan tambang murah itu.
"Kalau mereka buat kenyataan enggan berpindah, itu berbunyi kenyataan yang sombong. Tetapi kalau mereka sebut ada sebab untuk keberatan berpindah dan ingin berunding dengan kerajaan, saya fikir cara seperti itu lebih sesuai.
"Sebagai sebuah kerajaan, kita akan teliti kalau mereka ada masalah. Tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah berdialog dengan kerajaan menerusi MAHB.
"Sepatutnya kalau ada masalah, dari dulu sudah dibangkitkan. Sekarang projek itu (KLIA2) sudah siap, tidak boleh kata tidak mahu berpindah," katanya kepada wartawan Malaysia di Hanoi sebentar tadi.
Sebelum ini, Aireen Omar mempertahankan langkah tidak berpindah ke KLIA2 dan mengatakan Najib perlu memainkan peranan bagi menamatkan kontroversi melibatkan klia2.
"Kami merayu kepada pemimpin kami, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana campur tangan beliau sangat penting dalam menyelesaikan isu ini," kata Aireen dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu, Aireen juga memaklumkan pihaknya memerlukan masa lebih daripada dua bulan seperti yang diberikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk berpindah ke lapangan terbang baru itu.
Tempoh yang diberikan oleh MAHB itu pada pendapat AirAsia "tidak realistik dan terlebih optimis."
Selain itu, Aireen juga membangkitkan beberapa isu lain dalam kontrak antara AirAsia dan MAHB yang perlu diselesaikan sebelum perpindahan itu dibuat.
Dalam perkembangan berkaitan, pengurus kanan MAHB, Datuk Azmi Murad berkata KLIA2 akan beroperasi mengikut jadual.
Ditanya apakah AirAsia ada masa yang cukup untuk memindahkan operasinya ke lapangan terbang baru itu, beliau berkata: "Kita akan lihat."
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan enggan mengulas keengganan Air Asia untuk berpindah.
"Saya tidak boleh komen dulu. Kita tunggu hari itu," kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.
LCCT akan menamatkan operasi pada tarikh itu apabila kerajaan memindahkan semua agensi berkaitan seperti imigresen dan kastam berpindah ke lapangan terbang baru, KLIA2.--AD
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.