Sejarah dan perkembangan politik di negara ini sangat menarik untuk kita nilai dan renungkan. Tidak ada perkara yang mustahil akan berlaku.
Pada tahun 1946, ketika Melayu berpecah belah, secara tiba-tiba Inggeris yang melihat keadaan tersebut cuba mengambil kesempatan dengan menubuhkan Malayan Union.
Hasilnya, semua fraksi Melayu bergabung dan bertemu dalam sidang meja bulat yang diadakan sebanyak tiga kali dan dalam bulan Mei 1946, 200 orang pemimpin-pemimpin Melayu dari semua cabang politik, sama ada kiri, nasionalis, agamawan, feudal, bahkan yang menyokong Komunis, turut bergabung fikiran dan mengusulkan penubuhan UMNO di Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur.
11 Mei 1946, UMNO atau PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) ditubuhkan.
Bagaimanapun, 200 orang pemimpin-pemimpin Melayu itu kembali membawa haluan masing-masing. Ada sesetengahnya berada terus di dalam UMNO, sesetengah pula kembali melakukan penentangan terhadap Inggeris secara bersenjata dan sesetengahnya pula melakukan tentangan terhadap Inggeris sambil mengimpikan kewujudan Melayu Raya yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Indonesia dan Singapura.
September 1951, Parti Islam Se-Malaysia ditubuhkan setelah Biro Agama UMNO bergabung dengan Persatuan Ulama Se-Malaya dalam beberapa kemelut yang melanda kepimpinan UMNO khususnya melibatkan penentangan golongan agamawan terhadap tindakan sekular Tunku Abdul Rahman selain keperluan UMNO dipimpin oleh individu yang bukan tergolong dalam kelompok bangsawan. UMNO berpecah buat kali kedua dan kali pertama secara rasmi.
1987, UMNO diharamkan setelah 11 orang pengikut Tengku Razaleigh Hamzah tidak berpuas hati dan membawa perasaan tidak puas hati mereka ke mahkamah. Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim dengan disokong oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1988. Manakala Dr. Mahathir pula menubuhkan semula UMNO. UMNO berpecah buat kali ketiga.
1996, Semangat 46 dan para pemimpin mereka menyertai UMNO semula. Semangat 46 dibubarkan. Namun menjelang 1998, UMNO kembali bergolak apabila Anwar Ibrahim yang dipecat dan ditendang keluar dari parti serta Kabinet, telah dibicarakan kerana rasuah salahguna kuasa serta liwat. Isterinya, Wan Azizah Wan Ismail dengan dibantu oleh Azmin Ali menubuhkan Parti Keadilan Nasional pada September 1998 yang kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia atau nama lamanya, Parti Sosialis Rakyat Malaysia pada Ogos 2003 mewujudkan Parti Keadilan Rakyat.
Itu ringkasan daripada perpecahan UMNO. Dalam apa juga keadaan, kebanyakan pemimpin UMNO yang menubuhkan parti serpihan akhirnya kembali semula ke dalam UMNO kecuali mereka terlibat dengan jenayah yang membuatkan mereka terpaksa bersara dari politik. Tidak ada perkara yang mustahil berlaku.
PKR di Selangor memiliki 14 buah kerusi Dewan Undangan Negeri. Walaupun kelihatan seperti bersatu dan utuh, PKR Selangor sebenarnya berpecah kepada tiga kumpulan besar iaitu yang menyokong Wan Azizah-Nurul Izzah, Azmin Ali-Anwar Ibrahim dan Reformasi 1998. Khalid Ibrahim merupakan salah seorang anggota penting dalam kem Wan Azizah-Nurul Izzah. Manakala Azmin Ali serta beberapa orang pemimpin Melayu PKR di Selangor, berada dalam kem yang menyokong kuat Anwar Ibrahim.
Barangkali ramai yang berasa aneh mengapa anak beranak dan Anwar Ibrahim sendiri mewujudkan kem-kem bagi pihak mereka. Keperluan memecahkan dan mengecilkan kelompok merupakan kaedah terbaik untuk pecah dan perintah. Anwar Ibrahim semenjak dari dalam UMNO mengamalkan kaedah tersebut secara berkesan. Apabila Wan Azizah menubuhkan sebuah parti khas untuk Anwar Ibrahim, kaedah yang dipercayainya mampu menghalang sebarang tentangan terhadapnya, digunapakai.
Namun keadaan sudah berada di luar jangkauan serta kawalan Anwar Ibrahim. Mereka yang berada dalam kem Wan Azizah berasakan, Anwar Ibrahim tidak sepatutnya terus berlagak sebagai Tuhan memandangkan Wan Azizah adalah Presiden parti berkenaan. Dalam satu perkembangan yang lain, Wan Azizah dan Nurul Izzah perlu mendapatkan sokongan serta mengukuhkan kelompok mereka bagi memastikan Azmin Ali tidak meluaskan pengaruhnya dan seandainya berubah fikiran, PKR serta sokongan terhadap Anwar Ibrahim, tidak akan hilang begitu sahaja.
Dari awal lagi, Wan Azizah malah tidak mustahil juga Anwar Ibrahim sendiri menjangkakan, Azmin Ali hanya menunggu untuk ‘meletup’ dan kemudian membuat pengisytiharan yang dia keluar dari PKR bersama rakan-rakannya yang lain termasuklah ADUN-ADUN PKR Selangor yang cukup setia dengannya.
Azmin Ali tidak mungkin akan menyertai PAS memandangkan sudah beberapa kali dia berjaya menghuru-harakan PAS seperti langkah dan tuntutan yang diambilnya agar Hasan Ali dipecat dari parti selain bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa hanya dijadikan ahli biasa tanpa sebarang jawatan dalam parti. Azmin Ali juga tidak mungkin akan menyertai DAP memandangkan para pemimpin DAP sendiri tidak pernah mengalu-alukan Azmin Ali. Para pemimpin DAP Selangor terpaksa memaniskan muka dengan Azmin Ali kerana Anwar Ibrahim. Dalam banyak keadaan, Azmin Ali tidak pernah dijemput oleh DAP.
Satu-satunya pilihan yang ada bagi Azmin Ali yang bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor adalah dengan menyertai UMNO. Dan sudah tentulah, Azmin Ali akan membuat kira-kira dengan UMNO Selangor bagi membolehkan dia mendapat kedudukan yang lebih terjamin seandainya tindakannya keluar parti bersama rakan-rakan ADUN PKRnya yang lain. Azmin Ali tidak mungkin akan menawarkan diri secara percuma. Pasti ada balasan.
UMNO sekarang hanya menang 12 Kerusi DUN. Tekanan terhadap Khalid Ibrahim pula, menyaksikan Menteri Besar Selangor itu berada dalam keadaan yang amat tertekan ekoran Anwar Ibrahim turut bercita-cita ingin menjadi Menteri Besar Selangor yang baru walaupun dia sebenarnya tidak layak.
Dengan kata-kata lain, peluang untuk Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor sudah tertutup rapat. Justeru, da akan melakukan sesuatu yang lebih besar untuk tujuan berkenaan. Tidak mustahil sekiranya Khalid Ibrahim memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor sekiranya terus ditekan terutama sekali selepas PKR langsung tidak membelanya dalam isu hutang RM60 juta dengan Bank Islam Malaysia.
UMNO Selangor tidak sekuat mana pun, tetapi dengan ‘bantuan’ daripada Azmin Ali, sebarang tindakan membubarkan DUN Selangor dalam tempoh terdekat, amat membantu UMNO Selangor membersihkan arang yang terconteng di muka. Pertaruhannya sudah tentulah Azmin Ali!
Jadi, mustahilkah Azmin Ali berpindah dari PKR menyeberang masuk ke UMNO memandangkan berdasarkan kepada sejarah lampau, penentang paling kuat UMNO pun, akhirnya menyertai UMNO biarpun tidak menjawat sebarang jawatan?
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.