11hb April 2016 merupakan tarikh rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak seperti yang telah diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada penghujung Mac 2016. Dengan ini seluruh mata dan telinga rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya hanya menunggu pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia bilakan tarikhnya untuk Hari Penamaan Calon dan juga Hari Mengundi bagi Sarawak Bumi Kenyalang.
Rata-rata negeri di Semenanjung Malaysia mengadakan PRN dan PRU serentak manakala setakat ini hanya Sarawak satu-satunya negeri yang berlainan iaitu Pilihanraya Negeri tidak diadakan serentak dengan Pilihanraya Umum.
Pilihanraya Negeri (PRN) adalah satu proses pemilihan yang diadakan bagi kita mendapatkan wakil di Dewan Undangan Negeri Sarawak dan satu lagi sejarah akan tercipta pada tahun 2016 ini iaitu ini merupakan PRN Sarawak Yang Ke-11. Dan untuk Pilihanraya Umum pula adalah satu proses pemilihan bagi mendapat wakil Sarawak untuk bersuara di Parlimen Persekutuan. Dan PRU di Sarawak hanya akan diadakan pada tahun 2018 iaitu serentak dengan negeri-negeri di Malaysia kelak.
Menyoroti sejarah PRN di Sarawak sebenarnya sudahpun bermula sejak Sarawak menjadi salah satu jajahan Koloni British lagi. Sebelum penyerahan Sarawak lagi, Keluarga Brooke telah menubuhkan Majlis Negeri yang mana ianya turut melibatkan pemimpin-pemimpin kaum di Sarawak untuk menganggotainya. Namun segalanya adalah atas pemilihan Brooke dan bukannya oleh rakyat pada masa itu.
Sekitar tahun 1956, satu perlembagaan baru telah diluluskan oleh Kerajaan pada masa itu sehingga membenarkan pilihan raya yang julung-julung kalinya di adakan di Sarawak. Pada November 1957 pilihanraya diadakan bagi memilih Ahli Majlis Perbandaran Kuching. Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak.
Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri. Pada tahun 1959 pilihanraya untuk Majlis Tempatan pula diadakan. Ahli Majlis Daerah memilih wakil-wakil ke Majlis Bahagian dan mereka pula akan memilih wakil-wakil ke Majlis Mesyuarat Negeri.
Sekitar tahun 1962 iaitu dikala Sarawak diambang kemerdekaan bagi merealisasikan satu pembentukan yang digelar Gagasan Malaysia maka dengan pemerhatian penuh daripada Kerajaan Koloni British Borneo telah diadakan satu pilihanraya di Sarawak pada waktu itu. Beberapa buah parti politik telah bertanding di dalam pilihanraya tersebut seperti SNAP, PANAS, SUPP dan PESAKA. Di dalam pilihanraya ini parti SNAP telah menang majoriti yang besar dan SNAP diketika itu diketuai oleh Stephen Kalong Ningkan.
Pada tanggal 22hb Julai 1963, pihak Koloni British Borneo telah merealisasikan apa yang diminta oleh rakyat Sarawak dan dengan mandat daripada Kerajaan Koloni British Borneo maka lahirlah barisan kabinet yang dianggotai oleh anak Sarawak serta kepimpinannya adalah juga dari anak Sarawak iaitu Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan.
Selain daripada itu barisan kabinet pertama juga turut dipilih iaitu Abdul Taib bin Mahmud, James Wong Kim Ming, Dustan Endawie Anak Enchana, Awang Hipni bin Pengiran Anu dan Teo Kui Seng.
Seterusnya pilihan raya yang pertama selepas pembentukan Malaysia hanya diadakan dari tahun 1969 hingga 1970. Ada banyak peristiwa yang menyebabkan mengapa ianya dijalankan sebegitu lama.
Pada masa itu akibat daripada halangan serta kesulitan dari segi komunikasi mahupun sistem pengangkutan maka ianya agak memakan masa. Kemudian Tragedi 13 Mei juga turut mendorong kepada kelewatan pilihanraya itu diadakan di Sarawak pada ketika itu.
Di samping itu di dalam rentetan sejarah pilihan raya tahun 1970 juga menyaksikan satu proses pilihan raya yang agak mencabar kerana Sarawak pada masa itu turut masih belum bebas dari ancaman pihak komunis atau PARAKU. Di Sarikei misalnya pada tanggal 29 Jun 1970 iaitu ketika PRN dan PRU Sarawak disambung selepas darurat iaitu dari 6 Jun hingga 4 Julai 1970, pengganas komunis telah membunuh 3 Pengurus Pilihan raya ketika membawa peti-peti undi ke pusat pengumpulan undi.
Pada masa itu juga di tempat-tempat lain turut mendapat beberapa kemalangan tetapi tidak melibatkan korban jiwa seperti perletakan bom di pusat mengundi dan sebagainya.
Pada tanggal 31 Julai 1974 pula menyaksikan Dewan Undangan di setiap negeri dan Parlimen Malaysia dibubarkan serentak. Maka pada tanggal 24 April hingga 14 September 1974 pula menyaksikan rakyat Sarawak keluar memilih serentak untuk PRN dan PRU.
Dan “turning point” bagaimana Sarawak berbeza mengadakan PRN dan PRU bukan pada masa yang sama berlaku pada PRN ke-3 iaitu pada tahun 1979. Ianya adalah atas kehendak Ketua Menteri Sarawak pada masa itu iaitu Tun Abdul Rahman bin Yaakub. Setahun sebelum itu iaitu pada tahun 1978, Sarawak hanya keluar mengundi untuk Pilihan raya umum sahaja.
PRN Sarawak yang ke-4 diadakan 18 bulan sebelum berakhirnya penggal Ketua Menteri yang baru Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang memegang jawatan itu pada 26 Mac, 1981. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 18 November, 1983, penamaan calon diadakan pada 8 Disember dan pengundian pada 28 dan 29 Disember.
Peristiwa Ming Court 1987 merupakan salah satu daripada punca kepada Dewan Undangan Sarawak dibubarkan pada 13 Mac 1987. Pada masa ini beberapa pemimpin PBB telah memberontak dan bersatu dibawah pimpinan Tun Abdul Rahman bin Yaakub lalu membentuk satu perikatan yang dikenali sebagai “Kumpulan Maju”. Pada masa ini juga parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak bertindak keluar daripada perikatan BN Sarawak tetapi masih menjadi komponen BN pusat.
PRN ke-5 Sarawak diadakan pada 15-16 April 1987 dan pada ketika itu komponen BN Sarawak memenangi 28 daripada 48 kerusi DUN. Dan akhirnya ianya menjadi majoriti 2/3 apabila YB PBDS seramai 8 orang semuanya bertindak menyertai Barisan Nasional Sarawak semula. 28 – 29 September 1991 menyaksikan rakyat Sarawak memilih untuk PRN ke-6.
Dan ianya juga turut dimenangi oleh komponen Barisan Nasional Sarawak yang cukup besar. Kemudian PRN ke-7 pula juga berlangsung pada 7 – 8 Disember 1996.
DUN Sarawak dibubarkan pada 3 September 2001 maka bermulalah segala kerja-kerja penyediaan untuk rakyat Sarawak menghadapi PRN Sarawak yang ke-8. Sejajar dengan pembangunan infrastruktur dan komunikasi pada ketika itu, untuk PRN ke-8 inilah pertama kalinya tarikh pengundian diadakan hanya sehari iaitu pada 18 September 2001.
Dan PRN ke-9 pula diadakan pada 20 Mei 2006. PRN ke-10 pula diadakan pada 16 April 2011. Pada PRN ke 10 ini BN Sarawak berjaya mengekalkan majoriti 2/3 mandat namun begitu BN turut kehilangan 8 Kerusi DUN melalui SUPP yang kalah teruk di dalam PRN tersebut. Pada PRN ini juga turut menyaksikan pertambahan ke atas kerusi yang diwakili oleh DAP Sarawak.
Bagi PRN Ke-11 2016 ini juga nanti, rakyat Sarawak akan keluar memilih untuk 82 kerusi DUN setelah berlakunya penyelarasan sempadan pengundian pada tahun 2015 yang mana menyaksikan 11 kerusi DUN Sarawak yang baharu dikemukakan. Ini bermakna jumlah kerusi DUN untuk PRN ke-11 ini juga menyaksikan jumlah kerusi DUN yang paling banyak di dalam sejarah pilihanraya negeri di Malaysia.
#KamekSayangSarawakBah
Rujukan:
1. Sejarah Pilihan Raya Sarawak
http://www.jiwabakti.com.my/sejarah-pilihan-raya-sarawak.ht…
2. Rentetan Sejarah Pilihanraya Negeri Sarawak
http://www.theborneopost.com/…/rentetan-sejarah-pilihan-ra…/
3. Sejarah Barisan Kabinet Sarawak Yang Pertama – Borneo Oracle
4. Sarawak – Ke Arah Berkerajaan Sendiri – Borneo Oracle
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.