Usul: Bahawa Dewan ini mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan penerimaan “Wang Derma” berjumlah RM2.6 billion yang pada mulanya dinafikan, kemudiannya mengugut untuk menyaman akhbar Wall Street Journal dan akhirnya mengakui wang tersebut diperolehi daripada individu yang berasal dari Timur Tengah.
Komen saya ialah, jika wang derma menjadi isu bagaimana pula wang derma yang diterima oleh parti-parti lain? Sehingga ke hari ini, belum ada parti-parti politik di Malaysia khususnya DAP, PKR, parti baru Amanah menyahut cabaran DS Najib supaya mereka turut sama mendedahkan derma yang mereka terima. Walaupun mereka berkata menyahut cabaran tersebut, tetapi ianya hanya hangat-hangat tahi ayam.
Saya tidak percaya mereka tidak pernah menerima derma atau sumbangan atau pemberian atau bantuan atau apa jua istilah untuk membantu mereka semasa PRU13 dan PRU yang terdahulu. Perlukah ditubuhkan sebuah lagi Pasukan Penyiasat Khas untuk menyiasat semua parti politik? Barulah adil dan saksama ! Tak kanlah hanya parti UMNO sahaja menerima derma politik ?
SEBENARNYA derma yang diperolehi oleh UMNO melalui Presiden UMNO membuktikan betapa Presiden UMNO tidak menggunakan wang atau bajet daripada Kerajaan untuk kegunaan parti UMNO. Isu ini menunjukkan kredebiliti UMNO tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai peneraju kerajaan. Sebab itulah UMNO sebagai tunjang BN kena mencari dana sendiri untuk memenuhi kos partinya sendiri.
Di USA, setiap calon Presiden USA akan menerima derma berbillion-billion USD untuk menghadapi pilihanraya. Mereka juga tidak gunakan wang kerajaan, mereka gunakan wang penderma.
Saya selalu berkata parti UMNO adalah parti yang miskin! Anda tidak percaya? Cuba anda buat satu kertaskerja di bahagian anda dan memohon kepada Ketua Bahagian atau wakil rakyat UMNO. Berapa anda dapat? Barangkali anda akan memperolehi separuh atau suku daripada permohonan anda atau barangkali anda langsung tidak mendapat apa-apa! Mengapa tidak dapat apa-apa? Kerana pemimpin-pemimpin UMNO sebenarnya bukanlah ada wang yang banyak. Walhal setiap hari rakyat memerlukan peruntukan pembangunan dan lain-lain masalah di kawasan masing-masing khususnya di luar bandar.
Mereka pula seringkali memarahi jabatan-jabatan kerajaan kerana lewat membantu rakyat di kawasan mereka. Kenapa mereka marah? Kerana mereka mahu kelulusan yang segera, walhal di dalam kerajaan terdapat banyak peraturan sebelum sesuatu peruntukan diluluskan.
Sama ada wakil rakyat UMNO atau wakil rakyat pembangkang memohon bajet kerajaan, ianya mestilah mengikuti peraturan kewangan yang telah ditetapkan, bukannya suka-suka meluluskan hanya kerana seseorang itu berstatus Yang Berhormat.
Adakah parti DAP yang menguasai Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor mempunyai cara yang berbeza?
Usul Hangat-Hangat Tahi Ayam
Usul seterusnya: "Dengan tidak menjelaskan mengapa “Wang Derma” ini dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan atas nama parti, Dewan juga tidak berpuas hati ke atas siasatan skandal 1MDB yang berlaku di mana “Special Task Force” yang sepatutnya menyiasat skandal ini dibubarkan tanpa memberi sebarang alasan sehingga Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatan, pegawai SPRM dipindahkan, pihak polis mengganggu siasatan SPRM dan Bank Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menjalankan siasatan terhadap kes 1MDB tidak berfungsi akibat daripada empat anggota PAC yang terbabit telah dilantik menjadi Menteri atau Timbalan Menteri oleh Perdana Menteri, Pengarah Cawangan Khas (SB) diberhentikan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri tanpa diberi tugasan.
"Disebabkan masalah yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjejaskan imej Negara di dunia dan menyebabkan pelabur tidak yakin terhadap kerajaan sekarang sehingga ekonomi menjadi tidak stabil, serta pasaran saham menjunam teruk dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat.
"Maka rakyat Malaysia tidak lagi percaya terhadap perdana menteri dan dengan ini Dewan hendaklah mengambil ketetapan untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.”
Ulasan saya ialah, siapa kata Pasukan Penyiasat Khas tersebut dibubarkan? Jabatan Peguam Negara berkata ianya tidak pernah dibubarkan. Manakala saya melihat siasatan itu terhenti kerana beberapa ahli PAC telah dilantik sebagai Timbalan Menteri. Ianya terhenti kerana Pengerusi PAC yang baharu belum dilantik, sebaliknya ianya baru sehaja semalam disebut MP Rompin bakal mengetuai PAC.
Manakala Jabatan Akauntan Negara masih meneruskan siasatan dan dijangka menyiapkannya hujung tahun ini. Tidak berapa lama lagi pun, sekarang sudah pertengahan Oktober. Begitu juga pihak SPRM masih meneruskan siasatan mereka.
Pendek kata, semua pihak sedang bekerja malangnya segelintir orang tidak sabar. Mereka sangat kelam-kabut, hanya Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang tenang dan tidak kelam-kabut menangani isu dana politik dan isu 1MDB. Sebab itu saya menulis dalam artikel sebelum ini, bahawa Lim Guan Eng ada ciri-ciri Perdana Menteri ! Silakan baca semula dalam label DAP.
Sikap pemimpin pembangkang yang sangat kelam-kabut menunjukkan kelemahan besar mereka. Bukankah Dr. Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi PAC berkata jika kamu (Tony Pua) tidak mempunyai bukti, hanya bercakap sahaja, lebih baik tutup mulut. Sebab itulah, Tony Pua dan rakan-rakannya banyak berdiam diri sejak sebulan dua ini.
Dan terbaharu, usul undi tidak percaya pun dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen junior yang tidak ada kepakaran dan pengalaman dalam mengusulkan usul besar di Parlimen.
Kenapa bukan Ketua Pembangkang yang membawa usul tersebut? Baharulah nampak ada kesungguhan dan ada nilai!. Namun, ianya diusulkan oleh seorang ahli parlimen yang tidak ada apa-apa dalam politik nasional. Mereka buat ala kadar sahaja asalkan ada aktiviti untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia kononnya mereka sedang bekerja. Mereka hanya hangat-hangat tahi ayam!--SUMBER
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.