Sidang akhbar jam 11 pagi ini di Perth telah memberi khabar yang ditunggu-tunggu selama ini. Malah ramai pakar-pakar penerbangan kata apa yang dicakap oleh Ketua Pasukan Penyelaras Bersama (JACC) Angus Houston itu dalam makna yang tersirat adalah MH370 sudah sah berada sekitar lokasi carian sekarang di Selatan Lautan Hindi.
Cuma sebagai bekas pegawai tinggi tentera Australia, Angus Houston terbawa-bawa dengan stail ketenteraan beliau tidak sekali-kali akan beri pengesahan sehingga 100 pasti yakni apabila ada serpihan MH370 dilihat dengan mata kasar.
Dalam sidang akhbar itu Angus Houston mengumumkan kapal tentera laut Australia, Ocean Shield yang dilengkap alatan khas mencari kotak hitam yang dipinjam dari tentera Amerika kesan dua lagi isyarat pada petang dan malam Selasa.
Isyarat yang dikesan kapal Ocean Shield bukan berasal dari punca semula jadi tetapi sama dengan yang dipancarkan kotak hitam pesawat.
"Kita sudah membuat analisis dan ia bukan semula jadi, ia berasal dari peranti buatan manusia dan konsisten dengan yang dipancarkan kotak hitam," katanya
Houston juga berkata, objek yang ditemui di kawasan pencarian setakat ini tidak berkaitan dengan pesawat MH370.
"Kita berharap kita akan menjumpai sesuatu yang ada kaitan dengan pesawat itu," katanya.
Beliau menyifatkan pengesanan terbaru oleh Ocean Shield ini sangat penting. Malah beliau bayangkan yakin bangkai MH370 dapat ditemui tidak lama lagi.
Pagi Selasa beliau memberitahu wartawan Ocean Shield cuma perlu kesan satu lagi isyarat itu sebelum JACC dapat perhebat carian termasuk guna kapal penyelam kawalan jauh.
Beliau memberitahu JACC kini sedang perhalusi kesan bunyi-bunyi itu untuk memastikan lokasi kotak hitam.
"Dua isyarat pada 5 April, dua lagi dikesan 8 April. Makin banyak isyarat dikesan lebih baik; yang penting ialah kualiti isyarat,"ujarnya.
Pada Sabtu lalu, Ocean Shield kesan bunyi pukul 4.45 petang dan 9.27 malam manakala pada Selasa 4.27 petang dan 10.17 malam.
Katanya Angus Houston, tidak ada peluang kedua dalam pencarian tersebut, semua maklumat yang perlu wajib dikumpulkan sekarang kerana isyarat yang diterima Selasa lebih lemah daripada yang asal.
"Ini kerana samada berada jauh dari ping locator ataupun baterinya yang semakin lemah, secara logiknya bateri memang semakin lemah,"
Penting untuk mengesan isyarat ping tersebut adalah untuk mengkecilkan kawasan carian.
"Pelampung Sonar akan letakkan di kawasan itu. Sekarang kita sedang mencari kawasan yang lebih fokus, harap kita dapat mengesan serpihan dalam masa beberapa hari apabila kenderaan bawah air dikerahkan,"katanya.
Menjawab soalan kenapa kenderaan bawah air iaitu kapal selam tanpa pemandu Bluefin21 belum digunakan, ujar Angus Houston, mengesan isyarat gunakan kenderaan bawah permukaan laut dalam lebih perlahan berbanding penggunaan Towed Ping Locator.
Selain itu beliau memberi amaran mengenai sukarnya pencarian tersebut kerana kelodak di bahagian bawah lautan (10 meter dan lebih) berisiko menyerap tenaga bunyi.
Beliau juga mengesahkan kapal China Haixun01 tidak mengesan apa-apa bunyi lagi sejak kali terakhir pada Sabtu.
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.