Pages

Thursday, February 06, 2014

PAS TERUS JADI BALACI SEJATI PKR

SETAKAT kelmarin, Pas sudah menyatakan hanya akan memberi bantuan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam pilihan raya kecil yang dirancang oleh PKR dan tidak mahu dikaitkan dengan usaha menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam kata mudah, Pas hanya akan membantu Anwar di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada 23 Mac ini tetapi tidak akan merestui Ketua Pembangkang itu menjadi Menteri Besar Selangor. Sehingga kelmarin juga, Pas nampaknya bertegas dalam soal itu dan tidak mahu isu penggantian Abdul Khalid dibangkitkan.

Kita tidak pasti sejauh manakah pendirian Pas dalam soal itu akan berkekalan kerana rentetan politik sebelum ini sering menyaksikan parti itu sering mengalah apabila berhadapan dengan tekanan Anwar, PKR dan DAP.

Bagaimanapun sumber dalaman Pas memberitahu penulis, kali ini parti benar-benar konsisten untuk terus mempertahankan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor kerana mereka melihat tidak ada cacat celanya, bekas tokoh korporat itu menerajui negeri tersebut.

Sumber itu berkata, Pas sememangnya menentang sebarang perancangan politik bagi menyingkirkan Abdul Khalid apatah lagi jika hanya kerana beliau berbalah dengan orang kesayangan Anwar iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

''Sebab itulah Pas menentang keras keputusan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan seterusnya menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

''Gerakan politik ini tidak dibincangkan oleh PKR dengan Pas, biar pun dari segi kerusi Pas mempunyai lebih banyak kerusi di DUN Selangor berbanding PKR," katanya ketika dihubungi.

Apabila ditanya jika begitu keadaannya kenapakah Pas hendak membantu PKR, sumber itu berkata, ''Atas semangat pakatan pembangkang kita perlu membantu PKR tetapi pernahkah saudara mendengar Pas bersetuju Anwar menggantikan Abdul Khalid, jika Anwar menang kerusi DUN Kajang? Tidak ada...bukan? Ini bermakna dalam keadaan apa sekali pun Pas tidak mahu Anwar mengganggu Abdul Khalid menerajui Selangor."

Biar pun cuba diperlekehkan secara tidak langsung oleh Anwar yang menyatakan Abdul Khalid cemerlang dari segi ekonomi tetapi lemah dari segi pengurusan politik namun pemimpin-pemimpin Pas melihat Abdul Khalid jauh lebih baik berbanding Anwar.

''Pemimpin Pas melihat Abdul Khalid seorang pemimpin yang bersih dan sentiasa dilihat bersih kerana tidak dikaitkan dengan sebarang skandal termasuklah moral tetapi bagaimana dengan Anwar, beliau dilihat terlalu banyak masalah dan keadaan itu sudah tentulah tidak sesuai untuk beliau menjadi Menteri Besar," kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis.

Oleh itu, dalam berhadapan dengan pertembungan antara 'dua anak Ibrahim' itu Pas dikatakan mempunyai strategi bagi memastikan Anwar tidak menang dalam sebarang usaha menyingkirkan Abdul Khalid.

Menurut sumber Pas lagi, walaupun setakat ini tidak ada kenyataan yang jelas daripada Anwar bahawa beliau ingin menggantikan Abdul Khalid, tetapi manuver politik yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu cukup ketara.

''Apa yang kita persoalkan, kalau setakat hendak menyelesaikan masalah dalaman PKR, kenapa perlu mengheret rakyat?

''Kalau beliau tidak mahu menjadi Menteri Besar tak kan, beliau hendak menjadi Exco atau ADUN biasa sahaja? Jika begitu keadaannya siapa sebenar yang akan menerajui Selangor, Abdul Khalid atau Anwar? Bolehkah Abdul Khalid bekerja kalau Anwar yang menjadi Exco sedangkan Anwar adalah pemimpin nombor satu PKR?," kata sumber itu.

Bagaimanapun penulis diberitahu, buat masa ini Pas tidak mahu membangkitkan isu Menteri Besar kerana menganggap ia tidak ada keperluan memandangkan parti itu kekal dengan pendirian bahawa Abdul Khalid tidak harus digantikan.

Kenyataan itu selari dengan penegasan Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat yang tidak mahu polemik DUN Kajang mengheret pakatan pembangkang bagi membincangkan perebutan kerusi 'panas' (Menteri Besar).

''Pemuda Pas mendesak agar isu Menteri Besar dihentikan segera kerana rakyat sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan," kata Suhaizan dalam sidang akhbar, kelmarin.

Walaupun Anwar menafikan peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dirancang tetapi sejarah perjalanan politik Anwar sudah membuktikan bahawa 'penafian beliau hakikatnya adalah satu kebenaran."

Jika tiada perancangan untuk meletakkan Anwar sebagai Menteri Besar kenapakah dalam reaksi mereka Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyelar Suhaizan kerana tidak bersetuju dengan cadangan melantik Anwar sebagai Menteri Besar?

"Kita tawarkan pemimpin berpengalaman luas untuk Selangor dan secara tidak langsung akan memantapkan lagi kerjasama parti pendukung pakatan pembangkang khususnya di negeri tersebut," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook AMK Johor.

Bagi Abdul Khalid pula, beliau setakat ini belum membuat kenyataan terbuka bahawa Anwar akan menjadi Menteri Besar. Sehingga kelmarin, Abdul Khalid hanya berkata, ''Anwar sudah bersedia bekerja untuk rakyat.''

Kalau dikaji kenyataan Abdul Khalid sejak tercetus isu DUN Kajang, beliau dilihat tidak begitu selesa apabila dianggap oleh Anwar hanya bijak menguruskan ekonomi.

Mungkin atas sebab itulah dalam ucapan ketika majlis bersama pemimpin masyarakat Hulu Langat semalam, Abdul Khalid berkata, Anwar mahu kerajaan Selangor menunaikan permintaan rakyat dan ia berbeza dengan kebolehan beliau 'yang hanya tahu mengira duit'.

Namun begitu, apa pun perancangan politik Anwar termasuklah dengan menjadi PRK DUN Kajang sebagai usaha mengalih isu yang terlalu banyak dipalitkan dengan beliau, ia tidak akan berhasil jika pengundi-pengundi Kajang menolak beliau dalam pilihan raya kecil tersebut.

Oleh itu DUN Kajang seharusnya dijadikan medan kepada pengundi mengajar PKR supaya berpolitik dengan cara lebih bermoral. Janganlah begitu mudah mempermainkan amanah rakyat dengan sewenang-wenangnya.

Kita menghormati keputusan pengundi Kajang sebelum ini apabila memberikan kemenangan kepada PKR dalam pilihan raya umum lalu. Itu hak mereka kerana yakin PKR yangturut menerajui kerajaan negeri mampumelakukan sesuatu untuk kawasan itu.

Namun sekarang sudah jelas kerusi DUN Kajang dipertaruhkan oleh PKR semata-matamemenuhi agenda politik parti itu dan lebih buruk jika benar ia sekadar agenda Anwar untuk mengalih isu yang melumuri dirinya, apakah isu itu semua orang tahu!

1 comment:

  1. pemimpin pas dh xde telor sbb bertukar jantina!

    ReplyDelete

Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.