MELAKA 5 Jan. - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak mempunyai hak untuk mengiktiraf Raja Noor Jan Shah Raja Tuah sebagai Sultan Melaka seperti didakwa sendiri oleh individu berkenaan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, isu tuntutan takhta Sultan Melaka berada di bawah tata cara Perlembagaan dan undang-undang negara ini, bukan melibatkan soal perebutan antarabangsa.
Menurutnya, tidak berlaku isu perebutan dalam masalah ini, cuma Melaka telah mengguna pakai Perlembagaan negara yang menyatakan negeri ini adalah Negeri Selat.
"Justeru, Melaka ditadbir oleh wakil Persekutuan selaku ketua negeri yang dikenali sebagai Yang Dipertua Negeri atau dahulunya dikenali gabenor yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Wacana Ahli Sunnah Wal Jamaah di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Raja Noor Jan yang telah diiktiraf oleh ICJ sebagai Sultan Melaka pada 25 November lalu.
Menurut Idris lagi, beliau bagaimanapun turut meragui kesahihan tandatangan surat dari mahkamah berkenaan.
Katanya, beliau meminta individu berkenaan supaya menyedari tindakannya kerana rakyat di negeri ini sememangnya mengenali ilmu tentang sejarah Melaka dengan mendalam.
"Bagi saya, sesiapa pun boleh buat seperti itu dan menyuruh sesiapa untuk menurunkan tandatangan. Saya juga tidak nampak bahawa mahkamah berkenaan boleh menentukan Melaka mempunyai sultan atau tidak," tegasnya.--UM
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.