Pages

Friday, November 15, 2013

RAFIZI RAMLI KANTOI LAGI


Pepatah Melayu ada menyatakan sarang tebuan jangan dijolok. Jika dijolok juga, buruk padahnya walaupun yang menjolok itu seorang pakar strategi.

Begitulah yang terjadi kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan apabila cuba mencelah ketika ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar sedang berbahas.

Noh diawal perbahasannya menjelaskan mengapa kerajaan melantik tiga bekas menteri sebagai Duta Khas dengan keseluruhan elaunnya berjumlah RM980,179 setahun. Mereka ialah Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang dilantik sebagai Duta Khas ke Amerika Syarikat, Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India).

Mengambil contoh pengalaman beliau selaku Menteri Pertanian sebelum ini, beliau memberitahu dewan, walaupun tandatangan diantara menteri kedua-dua negara telah dilakukan, ianya masih memerlukan kerja-kerja susulan projek tersebut.

Jelas Noh, tugasan ini memerlukan seseorang bertaraf menteri seperti Ka Ting yang boleh mendapat akses terus kepada menteri yang berkenaan.

Rafizi yang bangun mencelah cuba menimbulkan persepsi negatif bahawa ketika Noh Omar menjadi Menteri Pertanian, beliau telah gagal menyelesaikan masalah projek di negara China sehingga memerlukan Ka Ting membantu sekaligus menyebabkan beliau digugurkan dari kabinet. Rafizi juga mempersoalkan kewajaran melantik Ka Ting dengan elaun yang tinggi.

Berang dengan tuduhan tersebut, Noh bangun mempersoalkan sama ada Rafizi telah dibayar elaun atau tidak ketika menjadi penasihat untuk Menteri Besar Selangor suatu ketika dahulu.

“Saya hendak bertanya kepada Pandan (Rafizi), semasa menjadi Ketua Exsekutif kepada Menteri Besar, adakah Menteri Besar Selangor ini tidak berapa cerdik sehingga memerlukan penasihat? Itu soalan saya yang pertama.

“Soalan saya yang kedua, Pandan dapat ke tidak elaun? Tolong beritahu berapa elaun yang berhormat dapat. Kalau tidak dapat, tidak apa lah,” soal Noh.

Soalan tersebut telah membuatkan Rafizi terkedu dan berbelit lidah untuk menjawab. Rafizi berkata isu tersebut tidak timbul kerana jawatan yang dinyatakan tidak wujud. Bagaimanapun, setelah didesak beberapa kali oleh Noh Omar akhirnya beliau tunduk dan mengaku ada menerima elaun daripada kerajaan negeri Selangor.

“Setiap perbelanjaan yang dibayar kepada saya telah didedahkan di dalam Dewan Undangan Negeri setiap kali ada persidangan,” katanya tanpa menyatakan jumlah yang diperolehi.

Tidak puas hati dengan itu, Rafizi sekali lagi menyerang Noh kononnya gagal menjawab soalan beliau dan kegagalan menyelesaikan projek di China sebagai punca tidak dilantik semula di dalan kabinet.

“Dia (Rafizi) ni pekak…saya kata saya akan jawab tetapi sebelum saya jawab, saya hendak tanya dulu kepada Pandan (Rafizi) berapa ribu dia dapat? Menteri Besar pun tidak berapa cerdik, itu pasal ahli Parlimen Gombak (Azmin Ali) berangan hendak jadi Menteri Besar,” bidas Noh

“Saya tahu berapa elaun yang dia dapat, itu pasal dia segan hendak cakap di dalam dewan ini. Pembangkang ini macam inilah perangainya, salah dia, dia tidak nampak,” bentak Noh.

Menurut Noh, selepas menteri kedua-dua telah menandatangani memorandum persefahaman sesuatu projek, tugas susulan akan dibuat dikalangan pegawai-pegawai kerana ianya mempunyai prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi.

“Takkanlah menteri hendak pergi tengok sarang burung? Jadi sebab itu kita hendak kerja susulan daripada duta khas kerana ada akses terus kepada menteri pertanian di sana. Ini diantara tugas-tugas yang dibuat.

“Jadi pembangkang jangan putar belitkan fakta. Bila kena batang hidung sendiri baru hendak berpusing-pusing jawab,” kata beliau.--SUMBER

No comments:

Post a Comment

Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.