Pages

Friday, May 24, 2013

CERITA PAGI JUMAAT:PAKATAN RAKYAT TIMBANG UNTUK BUBAR PARTI MASING-MASING!!!???



Tiba-tiba sahaja puak Pakatan Rakyat, terutama pecacai mereka, terkesima apabila polis tanpa sebarang pemasyhuran telah memulakan operasi menahan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat di bawah Akta Hasutan. Mereka yang sebelum ini begitu berkeyakinan, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang boleh digunakan lagi untuk menahan, dan menghalang perlakuan khianat mereka, tiba-tiba seperti terkena renjatan elektrik apabila Akta Hasutan digunakan oleh pihak polis.

N.Surendran, Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Padang Serai dan juga peguam Adam Adli, dalam hujah pembelaannya di Mahkamah Sesyen menyatakan bahawa Akta Hasutan adalah sebuah akta yang lapuk dan sepatutnya sudah dimansuhkan. N.Surendran merupakan antara yang paling lantang menyatakan kononnya Akta Hasutan sudah pun dimansuhkan, walaupun sebenarnya seperti yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen pagi tadi, akta tersebut masih dalam kajian pemansuhan dan pada peringkat pra-matang.

Dengan kata lain, N.Surendran sebenarnya sudah boleh diangkut kerana dia bukan sahaja menghasut, bahkan sedang berusaha menimbulkan kekacauan dengan cara menyebarkan berita yang tidak benar.

Penangkapan beberapa orang termasuklah Haris Ibrahim, Tian Chua dan Tamrin Ghafar, dilihat ramai sebagai permulaan langkah dan persediaan untuk penangkapan besar-besaran melibatkan beberapa nama besar seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan sebagainya. Adam Adli yang telah ditangkap, ditahan reman selama beberapa hari dan kemudian dijadikan sebagai umpan untuk membangkitkan sentimen di kalangan golongan muda pro Pakatan Rakyat, telah pun dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen dengan seorang penjamin dan bakal dibicarakan pada 2 Julai nanti.

Akta Keselamatan Dalam Negeri sudah tidak ada, tetapi seperti yang dikatakan oleh pihak berkuasa, masih terdapat beberapa akta yang boleh digunakan untuk mengamankan negara ini daripada hasutan serta gelagat gila ramai pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya yang kiblat mereka adalah Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

Sudah ada gerakan daripada para pemimpin Pakatan agar pihak berkuasa membebaskan segera kawan-kawan mereka dengan menggunakan alasan, kesemua mereka terlibat dalam Perhimpunan Aman, Kebebasan Bersuara dan Kebebasan Berhimpun. Mereka sebaliknya menuduh, UMNO dan Barisan Nasional, khususnya Perdana Menteri, Najib Abdul Razak sedang tertekan dan menggunakan pelbagai akta lapuk untuk menyekat kebebasan bersuara

Agak aneh sikap yang ditunjukkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat, apabila mereka bersungguh-sungguh membela segala kejahatan dan kemusnahan yang mereka sedang lakukan dengan menyalahkan undang-undang dan penguatkuasaan undang-undang. Bagi mereka, tiada sebarang undang-undang yang boleh dikuatkuasakan terhadap mana-mana individu yang menyokong Pakatan Rakyat. Kalau ada usaha penguatkuasaan diambil terhadap individu-individu Pakatan Rakyat, itu bermakna pencabulan hak asasi dan kebebasan bersuara. Malah lebih ironi lagi, tindakan tersebut dianggap sebagai gila.

Masa berbulan madu dan menganggap mereka kebal daripada sebarang tindakan undang-undang nampaknya sudah hampir habis. Tindakan polis dan Kementerian Dalam Negeri yang dimenterikan oleh Zahid Hamidi mendapat sokongan yang amat meluas daripada majoriti rakyat Malaysia yang selama ini memendam perasaan melihat tingkah laku para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

Tidak sahaja menyokong penangkapan individu-individu Pakatan Rakyat yang buat kacau, sebaliknya ramai yang mula menyuarakan agar tindakan lebih keras termasuklah hukuman diambil terhadap puak-puak berkenaan.

Keputusan PRU13 sememangnya memberi rahmat yang amat besar kepada majoriti rakyat Malaysia yang masih mengharapkan kedamaian dan keamanan di negara ini. Keputusan PRU13 itu, akhirnya mengubah konsep berlemah-lembut dan keterbukaan yang keterlaluan seperti yang diamalkan selama ini.

Dalam mana-mana peradaban dunia sekalipun, kegemilangan sesebuah kerajaan dan negara, bukan terletak kepada tindakan lemah lembut dan patah leher, sebaliknya dasar-dasar yang dilaksanakan secara ‘keras’ dan ‘diktator’. Sejarah kerajaan-kerajaan Islam yang gemilang dari zaman Bani Umayyah sehinggalah ke Bani Uthmaniyyah, semuanya merujuk kepada perkara yang sama. Bukan semua perkara boleh ditangani secara lemah lembut, terbuka dan kebebasan keterlaluan sehinggakan untuk berdemonstrasi di tepi jalan juga dibenarkan.

Dua negara yang mempunyai populasi besar di dunia yang boleh dijadikan contoh adalah India dan China. India merupakan negara yang sangat demokratik. Manakala China pula ditadbir dan diperintah secara kukubesi. India, sungguhpun telah bertukar kerajaan berkali-kali dan masih berbangga dengan demokrasi yang dilaksanakan di negara tersebut, masih ketinggalan jauh dari pelbagai segi kalau dibandingkan dengan China. Sebabnya sangat mudah, India mempunyai terlalu ramai orang ‘yang pandai’ sehinggakan apa-apa sahaja dasar dan polisi kerajaan yang hendak dilaksanakan, dibangkang dan akhirnya terbantut begitu sahaja.

Sedangkan China pula yang dikecam, dikeji dan dihina kerana pentadbirannya yang bersifat kuku besi, kini ditakuti oleh negara-negara Kapitalis seperti Amerika Syarikat kerana kemampuannya menyediakan segala-galanya dalam jumlah yang sangat besar dan berharga lebih murah. Sebarang pemberontakan akan ditangani dengan cara berdarah sehingga akhirnya, rakyat dapat menumpukan perhatian mereka kepada kemajuan yang dihambat.

Bandingkan pula Malaysia dan Indonesia. Indonesia merdeka lebih dahulu berbanding Malaysia. Indonesia juga mempunyai pemimpin-pemimpin yang hebat dan berdarah pejuang. Kemerdekaan Indonesia dicapai menerusi pertumpahan darah yang cukup terkenal dengan peristiwa Buluh Runcing. Ketika pada zaman Sukarno, manusia hebat yang diketahui antara orator terhebat dunia, Indonesia terkial-kial untuk mengisi kemerdekaannya sehingga akhirnya, Sukarno terpaksa digulingkan kerana kepandaiannya berpidato tidak seiring dengan kebolehannya untuk menguruskan negara.

Suharto berjaya memacu Indonesia menjadi kuasa ekonomi di sebelah tenggara Asia. Sehinggakan Amerika Syarikat terpaksa melakukan sekatan terhadap Indonesia apabila negara tersebut mulai membina pesawatnya sendiri. Kepimpinan gemilang Suharto mulai dilanda masalah apabila muncul revolusi untuk menggulingkannya dengan menggunakan alasan Kronisme, Nepotisme dan Favoritisme. Akhirnya Suharto tumbang dan digantikan dengan beberapa orang Presiden.

Indonesia sehingga ke hari ini, masih lagi sedang bergelut dengan pelbagai masalah sehinggakan sebahagian besar rakyatnya terpaksa keluar negara untuk bekerja!

Malaysia yang mengamalkan dasar pertengahan, berjaya mengatasi pelbagai masalah subversif termasuklah ancaman daripada komunis dan sosialisme. Namun menjelang tahun-tahun terakhir, dasar kerajaan mulai bertukar. Konon-kononnya mahu membentuk kerajaan yang bersikap terbuka dan rakyat Malaysia kononnya juga sudah matang.

Akhirnya apa yang berlaku, sudah sampai ke tahap yang mencabar kesabaran majoriti rakyat Malaysia.

Keputusan PRU13 barangkali telah menyentapkan kepimpinan utama negara bahawa kaedah dan polisi yang diamalkan sebelum ini, sebenarnya tidak sesuai langsung untuk diamalkan di Malaysia. Sebaliknya, sesuatu yang lebih mendidik, mengajar dan menghukum, perlu diaplikasikan.

Yang tidak senang dengan perubahan sikap kerajaan itu hanyalah Pakatan Rakyat yang mahu menggulingkan kerajaan dengan cara rusuhan dan demonstrasi. Sedangkan rakyat Malaysia yang mahu hidup aman damai, aman berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya tindakan yang ditunggu-tunggu, telah pun tiba.

Cuma satu sahaja harapan… diharapkan tindakan menangkap, menahan dan menghalang itu akan berterusan dengan hukuman dan pencegahan. Seandainya tangkap dan kemudian lepas dengan ‘pengaruh’ Peguam Negara, ia hanya akan menambahkan lagi masalah di negara ini yang semakin ketara konflik berdarah seandainya tidak dibendung dari awal.

1 comment:

  1. Patut dharamkan terus parti2 yg merosakkan negara......

    ReplyDelete

Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.