Pages

Friday, December 14, 2012

APA YANG AZEEZ PUTERA DAPAT NI???



GAZA: Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim semalam dilantik kerajaan Hamas sebagai 'duta kehormat' untuk Palestin. 

Abdul Azeez yang mengetuai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Sabtu lalu, dilantik dalam satu upacara rasmi di Universiti Islam Gaza dan watikah pelantikan disampaikan Ketua Pengarah Kementerian Luar Hamas, Mahmoud El-Hadour. 

Pelantikan itu dimaklumkan sendiri kepada Abdul Azeez oleh Perdana Menteri Hamas Ismail Haniyeh berikutan persetujuan sebulat suara jemaah kabinet Hamas yang bermesyuarat selepas kunjungan hormat Abdul Azeez dan 58 anggota sukarelawan ke atas Ismail pada Selasa. 

"Saya bersyukur, ini semua kerana mereka menyanjung tinggi kepimpinan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan nama Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka sekian lama tidak lekang di bibir mereka, dan juga Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai perdana menteri terdahulu," katanya kepada pemberita. 

Antara skop tugasan beliau sebagai duta kehormat seperti tertulis di watikah pelantikan itu ialah menyampai dan memperjuang nasib rakyat Palestin melalui program-program yang sesuai. 

Abdul Azeez berkata, berita baik itu telah disampaikan kepada Najib yang mengucapkan tahniah atas pengiktirafan itu. 

"InsyaAllah bantuan susulan akan kami laksanakan dalam masa terdekat. Saya akan balik dan bertemu perdana menteri serta Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman) untuk minta pandangan dan nasihat bagaimana tindakan susulan boleh kita lakukan," katanya. 
Dalam pada itu, beliau menggesa supaya segala perbezaan politik diketepikan dalam menjayakan misi bantuan kepada rakyat Palestin yang juga saudara sesama Islam. 

Misi bantuan kemanusiaan anjuran KP1M dan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia yang membawa bantuan berjumlah US$1.5 juta (RM4.5 juta) itu berakhir hari ini di Gaza dan akan bergerak ke Kaherah, Mesir untuk menyampaikan bantuan di sana. 

Semua anggota sukarelawan itu dijangka menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia malam esok. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.