Asal sahaja tiba musim pilihanraya umum atau pilihanraya kecil, isu perlaksanaan hudud seringkali didendangkan semula oleh pemimpin PAS terutama sekali bila mana mereka berhadapan dengan orang Melayu Islam.
Sekitar dekad 1990-an, isu hudud boleh dikatakan sebagai satu senjata yang cukup ampuh bagi PAS dalam mengekang penghijrahan ahli dan penyokongnya di masa yang sama isu itu juga sedikit sebanyak telah menggoncang kedudukan UMNO di sesetengah kawasan terutama di Pantai Timur.
Ramai yang percaya bahawa PAS benar-benar serius untuk melaksanakan hudud sekalipun draf hudud yang dibentangkan oleh PAS di DUN Kelantan pada November 1993 bercanggah dengan hudud yang dimasukkan dalam manisfesto PAS sempena pilihanraya 1986.
Dalam manifesto PAS 1986, hukum hudud yang mahu dibentangkan meliputi semua rakyat tanpa mengira orang Islam ataupun bukan Islam. Manakala draf hudud PAS tahun 1993 pula hanya terhad kepada umat Islam sahaja.
Walau apapun percanggahannya, hakikat yang sebenar-benarnya, untuk melaksanakan hudud dalam konteks pemerintahan negara kita, mahu tidak mahu memerlukan pindaan perlembagaan. Untuk meminda perlembagaan melibatkan akta undang-undang seperti hukum hudud bermakna memerlukan sokongan 2/3 majoriti dalam dewan.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 27 Ogos 2012 yang lalu dalam satu kenyataan media ada menyatakan bahawasanya, PAS bersedia untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang (PR) berjaya mengambil alih pentadbiran negara daripada tangan BN.
Kenyataan Mat Sabu itu telah dipetik oleh akhbar Sin Chew Daily yang kemudiannya disiarkan dalam edisi petang Isnin bertarikh 27 Ogos 2012, antaranya berbunyi, “PAS akan mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan selepas pembangkang (PR) berjaya membentuk kerajaan”.
Mat Sabu juga menjelaskan, “hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.”
Bagaimanapun tidak berapa lama kemudiannya, Mat Sabu menafikan telah bercakap demikian sebaliknya mendakwa kenyataannya telah diputar belit oleh wartawan Sin Chew Daily.
Kata Mat Sabu, “Ketika wartawan surat khabar itu (Sin Chew Daily) menghubungi saya, perkataan tentang hudud langsung tidak keluar. Apa sekalipun yang ingin dibuat oleh PAS, perlu mendapat persetujuan PR.”
Penafian Mat Sabu itu ada disiarkan dalam portal Malaysia Insider namun di pihak editor dan wartawan akhbar Sin Chew Daily pula mereka tetap berpegang pada kenyataan awal oleh Mat Sabu yang meluahkan niatnya untuk mengusulkan pindaan perlembagaan sekiranya PR menguasai kerajaan pusat.
Persoalan sekarang, apa perlunya Timbalan Presiden PAS itu menafikan berita yang tersiar dalam akhbar Sin Chew Daily sedangkan tiada sebarang kesalahan pun dari kenyataan tersebut? Bukankah sudah diketahui umum sejak sekian lama PAS begitu bersungguh-sungguh mencanangkan angan-angan mereka untuk merealisasikan perlaksanaan hudud di negara ini?
Kecualilah, sebenarnya segala gembar gembur perlaksanaan hudud yang sering disebut-sebut oleh PAS terutama sekali sewaktu berceramah di hadapan khalayak Melayu Islam hanyalah temberang kosong untuk mengaut undi kepartian sahaja.
Ataupun sebenarnya Mat Sabu sudah terpengaruh dengan kata-kata Setiausaha Agung PKR yang mengandaikan polemik isu hudud sebenarnya adalah perangkap UMNO untuk memecahkan PR?
“Hudud adalah contoh perangkap yang diperkatakan kerana isu berkenaan adalah dalam kategori agama. Isu berkenaan dilihat sebagai satu titik akhir yang digunakan Umno untuk jejaskan sokongan rakyat terhadap PR,” demikian kata Saifuddin Nasution pada Ogos lalu ketika diminta mengulas polemik hudud yang kembali mewarnai politik tanahair.
Apapun, sebagaimana kata Mat Sabu, untuk PAS melakukan sesuatu ia memerlukan persetujuan PR termasuklah DAP. Manakala sejak dulu hingga sekarang, DAP tetap membantah perlaksanaan hudud PAS malah konsisten menolak idea Negara Islam yang pernah mendasari arah tuju perjuangan PAS.
Bab kata Anwar Ibrahim pula, “Kita menghormati hak (Pas) untuk menyuarakan dan mengambil inisiatif (melaksanakan hudud) tetapi pendirian kami adalah jelas, tanpa ragu-ragu, sekarang (hudud) bukan merupakan dasar Pakatan Rakyat (pakatan pembangkang) dan penentangan DAP perlu dihormati dan diambil kira.”
Apa yang penting, selepas membaca penafian oleh Mat Sabu serta diperkukuhkan lagi dengan dasar PR melalui Buku Jingga yang meminggirkan perlaksanaan hukum hudud, maka kita semakin faham bahawa sekiranya PR diberi peluang menguasai peringkat pusat, hukum hudud tetap tidak dilaksanakan. Itu pendirian sebenar PAS dan PR. Noktah.
Pusing kot mana sekalipun, gembar gembur PAS berkaitan hudud hanyalah sekadar propaganda politik yang berselindung disebalik sentimen agama. Nawaitu utama tetap untuk mengejar manfaat duniawi untuk kepentingan diri dan puak, itu sahaja.--SUMBER
Akan tiba diakhir zaman manusia mempergunakan agama untuk dunia.........
ReplyDelete