Pages

Friday, November 23, 2012

JANJI ORANG MUDA YANG BAKAL BUAT PEMBANGKANG TERKANGKANG!!!



UTUSAN: Perhimpunan Agung UMNO yang bermula Selasa depan merupakan perhimpunan terakhir sebelum berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Dalam konteks Pergerakan Pemuda UMNO, apa pentingnya perhimpunan itu kali ini?

KHAIRY: Perhimpunan Agung UMNO kali ini bukannya mungkin tetapi sudah pasti akan menjadi perhimpunan terakhir sebelum PRU-13. Jadi, perwakilan harus menggunakan peluang ini, pertamanya membuat persiapan akhir sebelum pilihan raya iaitu membekalkan diri dengan hujah-hujah yang akan disampaikan oleh pemimpin-pemimpin dan pembahas-pembahas.

Hujah-hujah ini boleh menjadi kekuatan kepada kita. Hujah-hujah ini juga akan kita bawa balik ke kawasan masing-masing dan kita sebarkannya kepada rakyat. Keduanya, perhimpunan kali ini adalah untuk menaikkan semangat jentera kita. Ini penting kerana kita akan menghadapi perang besar dan sewajarnya jentera kita diberi suntikan semangat dari segi keyakinan.

Bukan terlalu yakin tetapi keyakinan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mengetengahkan calon-calon terbaik, manifesto terbaik dan strategi terbaik untuk menawan hati rakyat.

Ketiga, kita harus menggunakan peluang ini untuk memberitahu dunia luar bahawa Perhimpunan Agung UMNO bukan untuk ahli-ahli kita atau perwakilan tetapi perhimpunan ini tujuannya untuk menghantar mesej dan isyarat yang jelas kepada rakyat iaitu UMNO komited melaksanakan setiap program transformasi yang dicetuskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan UMNO serta BN merupakan satu-satunya pilihan tepat bagi pengundi pada pilihan raya akan datang.

Keyakinan itu mesti disampaikan kepada rakyat. Jangan kita ingat golongan sasar kita hanya perwakilan di dalam dewan atau ahli kita di seluruh negara tetapi yang paling penting sekarang, rakyat sedang menilai apakah yang akan kita bincangkan pada perhimpunan agung itu.

Mengambil semangat Perhimpunan Agung UMNO minggu depan, di manakah kedudukan parti ini sekarang? Adakah rakyat semakin menyokong UMNO atau menolak UMNO? Bagaimana pandangan YB tentang perkara ini?

Saya rasa pemulihan sokongan terhadap UMNO kita telah membuahkan hasil. Cuba kita lihat dalam keputusan beberapa pilihan raya kecil, juga tinjauan pungutan suara yang dibuat dari semasa ke semasa oleh beberapa agensi, menunjukkan bahawa sokongan terhadap Perdana Menteri sebagai Presiden UMNO dan UMNO itu sendiri semakin meningkat.

Ini satu petanda baik. Walaupun saya tidak mahu terlalu yakin tetapi saya nampak sokongan itu sudah semakin pulih. Sekiranya kita dapat membuktikan program transformasi yang sedang dijalankan ini berjaya di samping berupaya menampilkan calon yang boleh menang terutama di mata rakyat bukan di mata orang UMNO sahaja, saya yakin pemulihan sokongan itu akan lebih drastik pada pilihan raya kelak, maksudnya akan lebih ramai kembali menyokong UMNO terutama pengundi Melayu dan pengundi muda.

Apa mesej utama yang akan disampaikan oleh YB selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam ucapan dasar pada perhimpunan di peringkat Pemuda?

Mesej utama saya adalah soal pilihan raya khasnya kepada pengundi-pengundi muda. Apakah makna pilihan kita pada pilihan raya akan datang. Jadi saya hendak sampaikan kepada pengundi muda, apakah implikasi pilihan kita pada pilihan raya itu. Kalau kita pilih yang ini, ini implikasinya. Kalau kita pilih yang lagi satu, ini implikasinya, supaya jelas kepada pengundi muda inilah pilihan yang terpaksa mereka hadapi.

Mesej kedua saya ada kaitan peranan orang muda dalam UMNO itu sendiri. Saya tidak hanya melihat kepada pilihan raya umum. Ucapan saya juga menyentuh senario selepas pilihan raya. Apakah kita sebagai Pemuda UMNO sudah bersedia untuk menyerahkan pergerakan kita kepada pemimpin-pemimpin pelapis. Antara tugas kita bukan hanya membawa suara orang muda tetapi untuk menyediakan pewaris perjuangan parti.

Kita perlu sentiasa ingat sekiranya kita tiada proses pembaharuan maka kita tidak akan terus menjadi relevan kepada orang muda. Oleh itu kita perlu fikir dari sekarang siapa pemimpin pelapis selepas kepimpinan sekarang.

Apakah peranan Pemuda UMNO dalam konteks pilihan raya?

Sekarang ini kita sedang melihat berlakunya satu transformasi berkaitan peranan Pemuda. Jika dahulu kita melihat Pemuda sinonim dengan beberapa peranan sahaja. Pertama, gantung poster dan bendera. Pemudalah yang panjat pokok, yang panjat tiang lampu. Tugas ini menjadi kerja rutin dan masih dikendalikan Pemuda tetapi saya rasa rugi jika bakat yang ada pada Pemuda sekadar melakukan tugas-tugas itu. Sama juga dengan kerja-kerja keselamatan. Walau apa pun kita tetap melakukan kerja-kerja tersebut sekiranya diminta.

Pemuda sebenarnya boleh memainkan peranan lebih besar lagi antaranya sebagai penceramah parti, sebagai peraih undi bersama Pergerakan Wanita UMNO. Apabila Wanita meraih undi dari satu rumah ke rumah ada juga rumah yang mana penghuninya orang muda. Bukan saya kata kekok tetapi lebih sesuai Pemuda bertemu dengan pengundi muda.

Saya melihat ada juga UMNO Bahagian dan Perhubungan negeri yang memberi peranan yang lebih besar kepada Pemuda. Bukan hanya menggantung poster dan menjaga keselamatan tetapi lebih daripada itu. Ini merupakan pengiktirafan bahawa Pemuda boleh memainkan peranan khususnya dalam konteks perang minda yakni menawan minda dan hati rakyat. Bagi saya itu lebih penting daripada melakukan kerja-kerja rutin.

Kami difahamkan pihak Pemuda juga banyak terlibat dalam perang saraf dalam usaha menawan minda dan hati rakyat khususnya melalui media sosial serta media baru. Apa komen YB tentang perkara ini?

Dalam perang saraf secara online banyak peranan dilakukan oleh Pemuda melalui unit media baru dan begitu juga dengan bloggers kita. Sudah pasti tugas itu tidak boleh terpisah daripada Pemuda. Itu kita anggap antara tugas baru yang harus kita pikul. Saya sendiri aktif di dalam media sosial. Saya berharap rakan-rakan Pemuda lain boleh mencontohinya.

Apabila mereka melihat ketua mereka aktif dalam media sosial, sentiasa berinteraksi dengan rakyat melalui media itu mereka boleh melakukan perkara yang sama. Ini adalah medium yang efektif sebab tidak memerlukan wang yang besar.

Pengundi muda merupakan pengundi yang begitu kritikal. Malah ada di antaranya yang anti-establishment. Namun begitu dalam masa sama Perdana Menteri dan YB sendiri sentiasa berhubung rapat dengan golongan ini. Apa status pengundi muda sekarang YB?

Status yang saya nampak seperti saya katakan tadi, ada peningkatan dalam konteks sokongan kepada BN. Kalau hendak dikatakan orang muda ini sokong siapa, kita lihat senario yang berlaku pada 2008. Kita boleh katakan ketika itu majoriti orang muda tidak menyokong BN, tetapi pada hari ini kita tidak boleh bercakap benda yang sama. Kita tidak boleh cakap orang muda tidak sokong BN.

Maka saya berani katakan iaitu dengan berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya kecil termasuk pilihan raya kampus baru-baru ini, kita nampak ada fakta yang sukar disanggah iaitu terdapat bukti orang muda sudah menyokong BN. Saya tidak kata ia mutlak dan saya tidak mahu bersifat terlalu yakin memandangkan golongan muda ini merupakan pengundi yang cukup kritikal. Mereka kebanyakannya adalah golongan atas pagar da boleh berubah sekelip mata.

Namun jika kita berjaya kekalkan dan kita teruskan dengan hala tuju kita dengan dasar-dasar kita yang mesra orang muda seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia 2 (BRIM2), rebat pembelian telefon pintar, perubahan kepada cara pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), saya rasa kita akan melihat hasil itu dalam bentuk sokongan undi golongan muda.

Apa yang YB jangka perkara-perkara yang akan dibangkitkan oleh perwakilan dalam perhimpunan kali ini?

Perwakilan mungkin akan membangkitkan beberapa perkara. Pertama, mungkin mengenai peremajaan UMNO dari segi calon-calonnya. Kedua, masalah pentadbiran dalaman yang semua pihak boleh membangkitkannya. Kita mengamalkan ketelusan. Sudah pasti terdapat perkara yang perlu diperbaiki.

Saya menggalakkan mereka membangkitkannya jika timbul perkara-perkara seumpama itu. Mereka boleh melakukannya secara terkawal. Ketiga, soal pilihan raya. Apakah strategi kita menghadapi rakyat, perbandingan kita dengan pembangkang. Mungkin kerajaan negeri yang dikuasai parti pembangkang, Pemuda dari negeri-negeri berkenaan akan menceritakan kepincangan dan masalah yang berlaku.

Begitu juga dengan isu-isu semasa yang kini hangat diperbahaskan contohnya mengenai agama seperti doa Pas, kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar. Kesemua isu itu adalah bukti bahawa mereka tidak layak untuk memerintah.--UM

No comments:

Post a Comment

Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.