LABIS, 23 Jan. - Sebaik kempen bermula di Tenang, rasa optimisme jelas kelihatan di pihak Barisan Nasional (BN) apabila pekerja kempen mula turun padang bagi memenangi hati dan fikiran para pengundi terutama di kalangan masyarakat Cina.
MCA, parti komponen BN bagi masyarakat Cina, yang membangkitkan isu-isu seperti negara Islam dan janji-janji yang tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang PKR-DAP-Pas sejak pilihan raya umum lalu.
Ini sedikit sebanyak menyebabkan barisan pembangkang berada dalam kedudukan defensif.
"Masih ada lagi bilangan ketara pengundi berusia yang bimbang dengan isu-isu seperti negara Islam dan agama yang digunapakai Pas. Kita masih boleh menggunakannya di Tenang walaupun sesetengahnya berpendapat bahawa ini tidak terpakai lagi,” kata seorang pemimpin tempatan MCA, yang tidak mahu dikenali, apabila merujuk kepada corak perancangan parti.
Sebagai sebahagian kawasan mengundi luar bandar dan di Johor yang dikuasai BN, pertimbangan pengundi di Tenang adalah berbeza berbanding kepada kawasan mengundi yang beransur-ansur menjadi bandar dan ini menjelaskan mengenai peratusan tinggi kaum Cina menyokong BN di negeri ini.
“Mana lagi anda boleh dapati lebih 30 peratus pengundi Cina mengundi untuk BN pada pilihan raya umum lalu? Di Tenang, 43 peratus kaum Cina mengundi BN pada pilihan raya umum lalu,” kata Timbalan Pengerusi MCA Johor Tan Kok Hong.
Kok Hong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bekok dan Exco Negeri Johor berkata, pengundi Cina di Tenang nampaknya mula mesra dengan BN walaupun mereka dilihat ‘lebih propembangkang’ pada pilihan raya umum lalu.
"Kali ini, apabila kita turun padang, mereka nampaknya mesra dengan kita. Tiada jaminan bahawa petanda sedemikian boleh diterjemahkan kepada undi 100 peratus bagi kita, tapi sekurang-kurangnya ia adalah petanda positif,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.