SHAH ALAM: Lebih 1,000 anggota badan bukan kerajaan (NGO) hari ini berarak ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini untuk menyerahkan memorandum bantahan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Bantahan itu dibuat sempena sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang diadakan hari ini. Kumpulan NGO berkenaan yang disertai antaranya Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mula berkumpul di Dataran Shah Alam di sini sejak 10.30 pagi sebelum berarak sejauh kira-kira satu kilometer.
Wakil kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo, menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung, Datuk Mohd Shamsudin Lias.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Ismail berkata memorandum itu menyatakan pindaan tersebut hanya bertujuan mengembalikan kuasa kepada Menteri Besar dalam hal pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kerajaan Negeri.
Selain itu, Ismail berkata memorandum berkenaan juga menyatakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hanya bermain wayang politik kerana kerajaan negeri tidak mempunyai majoriti dua pertiga untuk meminda perlembagaan negeri.
"Maknanya sidang khas DUN Selangor hari ini tidak lebih daripada sekadar episod ceritera wayang politik berjudul 'Khalid Derhaka'," katanya.
Lebih 30 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan berkawal bagi memantau perarakan itu yang berlangsung kira-kira setengah jam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.