TUAN Presiden, Tahniah atas pelantikan tuan sebagai Presiden sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Pengalaman dan kebijaksanaan tuan amat berharga dalam membimbing kami.
Tema sesi ini - ‘Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Pada Usia 70 Tahun: Jalan Ke Arah Keamanan, Keselamatan dan Hak Asasi Manusia’ - tepat pada masanya. Ini kerana kita perlu segera mencari pendekatan baharu, bangkit mengatasi jurang politik dan mendahulukan rakyat, dalam era yang cara lama terbukti tidak memadai untuk berdepan dengan cabaran masa kini.
Kita berada dalam dunia dengan pelbagai negara. Namun konflik dan ancaman baharu yang membahayakan keamanan dan keselamatan kita tidak mengenal sempadan. Pengganas tanpa negara, seperti kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Negara Islam (IS), mengancam untuk memusnahkan kedaulatan negara-negara.
Mereka tidak membataskan tindakan kejam mereka dalam kawasan sempadan rasmi sahaja. Cekap menggunakan media sosial untuk merekrut pengikut dari segenap ceruk dunia, mereka menggoda dengan janji-janji palsu, memperdaya ramai anak muda kononnya tindakan ganas itu akan lebih mendekatkan mereka dengan Tuhan.
Ini amat menjelikkan, dan adalah satu penghinaan paling besar terhadap Islam - agama yang menjunjung keamanan, kesederhanaan dan keadilan. Namun kumpulan ekstremis ini tidak dapat dikalahkan menerusi kaedah ketenteraan tradisional semata-mata.
Tuan Presiden,
Lima tahun lepas saya berdiri dalam perhimpunan ini dan menggesa Gerakan Global - ke arah Kesederhanaan bagi semua agama, bagi semua negara - untuk melemahkan ekstremis, kembali kepada asas dan merangka agenda ke arah keamanan dan pragmatisme. Kami di Malaysia telah mengambil langkah susulan, baik dari segi tindakan praktikal atau dengan membina kapasiti intelektual.
Teras usaha ini adalah mengesahkan semula fitrah sebenar Islam, dan kita mesti mengakui yang kita tidak memenangi perang propaganda terhadap kumpulan IS. Putar-belit mereka tidak ditangkis dengan cukup berkesan untuk mengelakkan ramai orang yang keliru daripada menyertai atau menyokong mereka dari jauh.
Justeru amat penting kini untuk kita menyebarkan kesedaran tentang kesucian ajaran Islam. Lebih-lebih lagi ketika konflik berterusan dan rakyat putus harapan. Hal ini kerana keadaan itu yang akan membuatkan ekstremis bercambah. Dan mereka yang memperjuangkan ekstremisme - yang memutarbelitkan ajaran Islam tulen - adalah antara dalang di sebalik krisis pelarian dari Asia Barat ketika ini.
Islam dengan jelas melarang pembunuhan orang awam ketika perang. Ia juga secara tegas melindungi golongan minoriti dan menghormati penganut agama lain. Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu, dan menekankan kedua-dua aspek keadilan dan ihsan. Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW: “Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman; tidak sempurna iman kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.”
Ini bermakna tidak patut ada persengketaan sesama umat Islam. Tidak antara puak Syiah dan Sunni, yang mungkin berbeza fahaman tetapi mencari hala tuju yang sama.
Islam mengutuk tindakan memusnahkan tapak-tapak bersejarah yang menjadi sebahagian warisan kebudayaan dunia. Pembohongan IS termasuk mendakwa menjadi tanggungjawab mereka untuk memusnahkan tapak-tapak bersejarah berkenaan kerana Nabi Muhammad memusnahkan berhala yang dibina di sekitar Kaabah di Mekah.
Ini adalah analogi palsu. Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim untuk menyembah Tuhan Yang Esa, manakala generasi kemudiannya menambah pembinaan berhala. Nabi Muhammad diperintahkan untuk membersihkan Kaabah daripada berhala untuk kegunaan pengikutnya, dan mengembalikan keadaannya kepada asal.
Tapak-tapak bersejarah yang telah dimusnahkan oleh IS tidak pernah digunakan untuk menyembah Tuhan Yang Esa dan kemudiannya dicemarkan; justeru hujahan untuk memusnahkannya tidak dapat diterima dan diguna pakai. Lagipun Allah berfirman bahawa tapak-tapak berkenaan yang kita lawati, yang melambangkan tamadun lepas - sesetengahnya kuasa besar dunia pada zamannya, tetapi kini tidak lagi - adalah sebagai peringatan kepada kita agar tidak bersikap angkuh, tetapi berjalan di muka bumi ini dengan sikap rendah diri.
Kita mesti memerangi ideologi songsang IS dengan cara: menjelaskan kenapa cara mereka tidak Islamik; kenapa tindakan mereka kejam, tidak masuk akal dari segi teologi agama dan bercanggah dengan Islam - yang menuntut kita supaya berilmu, memiliki belas ihsan dan merendah diri.
Tuan Presiden,
Kerajaan Malaysia telah membantu membangunkan badan kesarjanaan penting bagi tujuan itu. Sekumpulan sarjana Sunni dan Syiah yang mewakili pelbagai sektor komuniti Islam global telah berhimpun di Kuala Lumpur. Misinya adalah untuk mentakrifkan Negara Islam, berdasarkan kesinambungan agama Islam sejak 14 abad yang lalu.
Ia langsung tidak sama dengan entiti di Syria dan Iraq yang telah menyalahgunakan nama (Negara Islam) itu. Para sarjana sebulat suara menegaskan bahawa sebuah Negara Islam perlu menegakkan keadilan dalam semua bentuk - politik, ekonomi dan undang-undang - terhadap rakyatnya. Ia mesti berasaskan matlamat Syariah, atau Maqasid Syariah, iaitu untuk melindungi dan meningkatkan kehidupan, agama, intelek, harta benda, keluarga dan maruah.
Sebuah Negara Islam perlu mempertahankan masyarakat berbeza di bawah pemerintahannya, dan memelihara agama mereka, bahasa dan tapak-tapak bersejarah - seperti firman Allah: “Sesungguhnya Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan antara satu sama lain.”
Allah boleh mencipta kita sebagai komuniti dengan satu agama, tetapi Dia tidak berbuat demikian - untuk menguji kita - dan perintahkan kita supaya saling bersaing untuk menjadi yang terbaik. Justeru sebuah Negara Islam sebenar perlu membantu melaksanakan perintah Allah dalam menguji kemanusiaan, dan menggesa kita berlumba-lumba mencari kemuliaan, ilmu pengetahuan, berbuat kebaikan, belas ihsan dan merendah diri - tetapi yang penting, bukan secara paksaan.
Inilah prinsip Islam yang sebenar. IS tidak tahu ajaran Islam yang sebenar, tentang sifat penyayang atau tanggungjawab asas untuk menjaga dan mengambil tahu tentang saudara seagama yang lain. Mereka mengingkari perintah Tuhan. Mereka mencemarkan nama agama suci ini dengan melantik diri mereka sebagai khalifah - sedangkan tidak ada umat Islam sebenar yang akan mengikrarkan taat setia.
Inilah mesej yang kita mesti sebarkan, kepada umat Islam dan bukan Islam. Dan saya menggesa ummah untuk bangkit sebagai satu suara, dan biar dunia bergema apabila kita katakan kepada IS:
Anda tidak mewakili kami.
Tuan Presiden,
Jangan biarkan sesiapa meragui kesungguhan Malaysia dalam menangani masalah militan: sama ada bagi mereka yang berhasrat menggunakan Kuala Lumpur sebagai pusat transit, mahupun mereka yang berhasrat untuk menyemai benih keganasan dan kemusnahan di negara ini.
Banyak daripada langkah ini tidak boleh didedahkan atas sebab keselamatan. Ini mungkin membuatkan sesetengah pihak beranggapan bahawa oleh kerana Malaysia tidak menanggung akibat teruk daripada serangan pengganas, negara kami tidak berdepan dengan cabaran keselamatan. Bukan begitu.
Usaha tanpa mengenal lelah, pasukan keselamatan kami yang sentiasa bersiap-siaga telah berjaya memintas banyak cubaan rekrut IS menggunakan Kuala Lumpur sebagai transit. Disebabkan usaha kami ini mereka telah berjaya diselamatkan daripada terjerumus ke lembah kegelapan seperti yang berlaku di Syria dan Iraq.
Namun ada juga yang terlepas. Kami mengenal pasti 39 rakyat Malaysia yang telah pergi menyertai IS. Dan kami telah menahan lebih 100 warganegara kami yang disyaki ada kaitan dengan IS.
Ancaman ini adalah benar.
Ada juga pihak yang mahu mencetuskan huru-hara jalanan.
Kami tidak akan membenarkannya, dan mereka tidak akan berjaya. Malaysia telah dan akan kekal selama-lamanya menjadi bumi di mana rakyatnya yang berbilang kepercayaan dan kaum bebas untuk hidup makmur dan maju.
Bagaimanapun, kita perlu berusaha lebih keras untuk memerangi ancaman ini bersama-sama. Tentera dan khidmat risikan perlu berkongsi maklumat, dan negara-negara perlu meningkatkan kerjasama, termasuk berani melakukan tangkapan awal jika perlu.
Kita mempunyai peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan ini. Apabila bukti tidak dapat disangkal, kita tidak teragak-agak untuk bertindak. Jika nyawa rakyat diancam dengan pengeboman di pusat beli-belah atau stesen, kita akan dianggap mengabaikan kepercayaan mereka jika tidak mencegahnya sebelum terlambat.
Tuan Presiden,
Tahun 2015 memberikan kita banyak contoh pendekatan baharu yang diharapkan. Contohnya, Amerika Syarikat memulihkan hubungan diplomatik dengan Cuba. Ini adalah pencapaian bersejarah, contoh cemerlang tindakan kesederhanaan. Ia memerlukan keberanian. Ia tidak mungkin berlaku jika pihak berkenaan berkeras mahu berpegang kepada cara politik lama.
Pemimpin yang berpandangan jauh akan mengutamakan kepentingan rakyatnya. Keberanian serupa, Tuan Presiden, diperlukan untuk menyelesaikan ketidakadilan yang dideritai penduduk Palestin sejak 1948.
Terlepas daripada hukuman dan penyahmanusiaan secara sistematik terhadap penduduk Palestin sejak berdekad lamanya, membawa kepada peningkatan keganasan, peluasan penempatan haram dan pencabulan hak asasi. Kekecewaan dan kemarahan ditanggung rakyat Palestin turut dirasai umat Islam di seluruh dunia.
Jika dunia terus tidak ambil peduli tentang penderitaan mereka, kita berkemungkinan berdepan satu lagi malapetaka di Wilayah Yang Diduduki Palestin. Kita juga akan gagal mendukung hak untuk menentukan nasib sendiri, yang menjadi perkara paling asas ketika PBB diwujudkan 70 tahun lepas.
Sehubungan itu, susulan tindakan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis semasa sambutan perayaan Rosh Hashanah dan serangan terhadap jemaah masjid itu tiga minggu lepas, saya menggesa Israel agar mendukung prinsip tertinggi agama Yahudi, dan mesej utama kitab Taurat seperti dinyatakan secara ringkas dan padat oleh pendeta abad pertama Sebelum Masihi (SM), Hillel. Apabila diminta menjelaskan petikan Taurat itu, beliau berkata: “Apa yang kamu benci, jangan lakukan pada orang lain.”
Petikan ini, yang dikenali secara universal dalam semua agama sejagat sebagai Peraturan Emas, boleh digunakan untuk memulihkan hubungan antara orang Islam dan Yahudi.
Ketika ini Israel secara paksa menguasai tempat ketiga paling suci bagi umat Islam - sebagai bantahan terhadap bidang kuasa Raja Abdullah dari Jordan, selaku Penjaga Kawasan Suci yang sah.
Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab Israel untuk memudahkan umat Islam dari seluruh dunia untuk melawat tempat suci itu. Memandangkan menjadi impian dan doa setiap umat Islam untuk mengunjunginya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Tuan Presiden,
Mendahulukan rakyat tidak selalunya mudah. Tetapi masalah yang dihadapi hari ini memerlukan penyelesaian baharu dan global.
Malaysia akan membangkitkan isu-isu ini sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB - demi melakukan pembaharuan terhadap Majlis Keselamatan bagi mencerminkan realiti 2015 dengan lebih baik, bukan lagi tahun 1945, mewakili permulaan yang baik ke arah membina kerangka global yang baharu dan lebih responsif.
Kami di Malaysia amat memahami betapa perlunya semua itu. Kami sangat kecewa apabila resolusi mencadangkan penubuhan tribunal antarabangsa berhubung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh, ditolak susulan penggunaan kuasa veto. Kami akan terus berusaha untuk mendapatkan keadilan menerusi pilihan perundangan yang lain, kerana kami bertanggungjawab terhadap keluarga mangsa yang terkorban dalam jenayah kejam ini.
Bagaimanapun, tidak kiralah sama ada pembaharuan PBB, memerangi ekstremisme atau menangani masalah pelarian, usaha bersama yang lebih padu diperlukan. Kita perlu melihat ke dalam diri dan tradisi kita untuk mewujudkan mekanisme-mekanisme baharu. Kami percaya kuncinya adalah kesederhanaan.
Kesederhanaan bukan bermaksud lemah. Sebaliknya, ia satu keberanian dan menunjukkan kekuatan. Kekuatan untuk menegakkan keamanan dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Ia adalah prinsip yang terdapat dalam semua tamadun dan kepercayaan. Islam merangkumnya menerusi konsep ‘wasatiyyah’, Confucianisme memanggilnya ‘chung yung’ - kedua-duanya bermaksud ‘jalan tengah’ atau ‘Kaedah Penting’. Ini adalah prinsip yang perlu diteroka semula, dan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-26 di Malaysia pada April lepas, kami mengulangi komitmen terhadap pendekatan ini menerusi Deklarasi Langkawi mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global.
Malaysia sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalamannya; dalam mendukung Islam dan meminggirkan ekstremisme; melaksanakan matlamat Syariah dan pada masa sama mengamalkan demokrasi; mengekalkan masyarakat berbilang kaum dengan pelbagai anutan agama hidup harmoni bersama secara makmur; dan menunjukkan bahawa Islam bukan sahaja boleh berjaya, bahkan berupaya memacu kemajuan serta pembangunan ekonomi.
Tuan Presiden,
Dalam kita bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, kebencian, perang dan perlakuan manusia serta bencana alam yang menyebabkan kita berdepan dengan krisis pelarian ketika ini, kita perlu mengambil tradisi kerohanian - iaitu semangat bermurah hati melangkaui keperluan undang-undang.
Surah ‘Abasa, surah ke-80 dalam al-Quran, bermula dengan teguran Allah ke atas Nabi Muhammad - yang kita orang Islam anggap sebagai Kekasih Allah - kerana baginda bermasam muka dan memalingkan wajah daripada pengikutnya, seorang lelaki buta dan miskin, yang mencelah untuk bertanya soalan semasa baginda sedang sibuk berdakwah kepada golongan kaya dan berkuasa yang belum memeluk agama Islam.
Jika Allah boleh menegur Nabi Muhammad, apatah lagi kita, pemimpin-pemimpin masyarakat Islam dunia terutamanya, akan dicela oleh Maha Pencipta jika kita “bermasam muka dan memalingkan wajah” daripada saudara sesama Islam yang miskin dan tertindas, yang sedang melarikan diri dari Syria dalam jumlah yang besar - menyebabkan tekanan sosial dan ekonomi di Eropah? Tidakkah kita turut bertanggungjawab bagi sebarang permusuhan oleh penduduk Eropah terhadap Islam, agama yang kita cintai, dan terhadap saudara sesama Islam?
Sebab itu kenapa Malaysia telah menerima, sejak bertahun-tahun lamanya, ramai pelarian perang, mereka yang lari daripada kebuluran dan penganiayaan. Ketika ini, kami menerima ratusan ribu pendatang tanpa izin, dan kami menerima lebih banyak pelarian awal tahun ini apabila berlaku krisis kemanusiaan di Laut Andaman.
Saya berbesar hati mengumumkan hari ini bahawa, untuk membantu mengurangkan krisis pelarian ketika ini, Malaysia akan menunaikan tanggungjawabnya, dan membuka pintu kepada lebih 3,000 lagi pelarian Syria untuk tiga tahun akan datang.
Penyelesaian baharu di peringkat antarabangsa amat diperlukan untuk menangani krisis pelarian ini. Jutaan yang melarikan diri ini ialah manusia - sama seperti kita. Mereka patut mendapat perhatian kita semua. Kita perlu menghormati nilai kemanusiaan sejagat.
Ini hanya berlaku apabila kita merentasi batas bangsa dan anutan;
Hanya apabila kita melihat gambar-gambar pelarian yang terdesak ini, mangsa ekstremis, dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan - dan melihat mereka bukan sebagai orang asing, tetapi sebagai saudara kita;
Apabila kita melihat paparan memilukan jasad Aylan Kurdi berumur tiga tahun yang dihanyutkan air laut dan terdampar di pantai - dan membayangkan anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa yang mati penuh tragik itu - kita akan mengambil tindakan jauh lebih baik.
Masyarakat di seluruh dunia merintih mengharapkan bantuan kita. Kita tidak boleh - tidak sepatutnya - berlalu begitu sahaja.
Terima kasih.
x
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.