Pages

Wednesday, June 25, 2014

MELAKA TAMBAH PRODUK PERLANCONGAN



MELAKA 24 Jun - Beberapa produk pelancongan baharu dicadangkan untuk dibangunkan di negeri ini melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), khususnya berkaitan sejarah dan kebudayaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha tersebut kini sedang dalam peringkat akhir penyediaan kertas kerja untuk dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, antara produk pelancongan baharu yang bakal dibangunkan di negeri ini termasuklah projek Pelancongan Etnik Jawa di Ayer Molek, Galeri Tamadun Islam Nusantara, Jejak Warisan Alor Gajah dan Pusat Pelancongan Klebang.

"Kerajaan negeri turut akan menaik taraf kawasan pelancongan di Tanjung Bidara dan pusat-pusat pelancongan pantai yang kesemuanya bakal berlaku dalam RMK-11," katanya.

Idris (BN-Sungai Udang) berkata demikian dalam Sidang Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-13 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Amiruddin Yusof (BN-Ayer Limau) berkaitan langkah kerajaan dan swasta dalam bekerjasama merealisasikan penyediaan tarikan pelancong, khususnya di lokasi sedia ada dan kawasan luar bandar.

Jelas Idris, produktiviti negeri hanya boleh dibangunkan dengan produk pelancongan memandangkan Melaka hanya sebuah negeri yang tidak besar berkeluasan hanya 1,651 kilometer persegi serta kekurangan sumber asli.

Justeru, katanya, pembangunan baharu dalam sektor pelancongan perlu terus dilaksanakan di negeri ini bagi memastikan Melaka kekal berada di puncak daya pengeluaran tinggi dalam bidang tersebut.

"Selain itu, penglibatan pihak swasta dan rakyat negeri ini dalam memberi pandangan dan idea membangunkan industri pelancongan sama ada di kawasan bandar atau luar bandar amat dialu-alukan," ujarnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Amiruddin berhubung jumlah kemudahan penginapan yang terdapat di negeri ini jelas Idris, pada masa ini sebanyak 8,000 bilik penginapan merangkumi hotel pelbagai kelas disediakan bagi memenuhi keperluan para pelancong.

"Jumlah tersebut bagaimanapun dilihat masih kurang dan Melaka memerlukan sekurang-kurangnya 4,000 bilik penginapan lagi bagi menampung permintaan yang semakin bertambah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.