DALAM tempoh kurang 10 hari selepas kemalangan yang meragut nyawa bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, mungkin masih terlalu awal untuk mengulas mengenai kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang ditinggalkan mendiang.
Namun, mahu tidak mahu, seluruh tumpuan ketika ini sudah pun terarah kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi tersebut.
Apatah lagi dengan pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian yang masing-masing ditetapkan pada 12 dan 25 Mei ini.
PRK Parlimen Bukit Gelugor adalah PRK kelima dalam tempoh setahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu; DUN Sungai Limau, Kedah; DUN Kajang, Selangor dan DUN Balingian di Sarawak.
Bayangan kepada PRK bagi kerusi ini sudah pun ada sebelum ini selepas Karpal dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.
Mendiang didapati bersalah kerana mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak pada 2009.
Namun, ketika menunggu proses rayuan ke atas hukuman yang melucutkan kelayakan mendiang sebagai wakil rakyat, Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya.
Di atas kertas, parti lain selain DAP boleh dikatakan cukup mustahil untuk menembusi salah satu kubu kuat parti itu di negeri ini.
Mendiang Karpal meninggalkan legasi kemenangan yang luar biasa di kerusi itu terutama dalam dua pilihan raya umum terakhir.
Karpal meraih sebanyak 21,015 undi majoriti pada Pilihan Raya Umum 2008 dan majoriti dua kali ganda pada tahun lalu iaitu sebanyak 41,788 undi.
Jumlah undi yang diterima Karpal itu antara rekod undi majoriti tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah Pilihan Raya Umum di negara ini.
Dengan hakikat itu, ramai yang sudah mencongak parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) sendiri tidak perlu membuang masa, tenaga dan wang ringgit meletakkan calon bagi PRK kerusi berkenaan kelak.
Malah, SPR juga boleh menjimatkan kira-kira RM2 juta kos perbelanjaan mengadakan PRK dengan memberi kemenangan percuma kepada calon DAP.
Apatah lagi kerusi itu kosong kerana kematian Karpal akibat kemalangan jalan raya - kehilangan secara tiba-tiba dan cukup sukar pula diterima penyokong-penyokong DAP.
Sentimen simpati pastinya lebih tinggi dalam PRK Bukit Gelugor kali ini dan tidak mustahil siapa sekali pun calon DAP kelak akan meraih majoriti undi lebih tinggi berbanding yang diperoleh Karpal sebelum ini.
Tetapi dalam membuat perkiraan sebegitu, ramai juga yang melihat PRK Bukit Gelugor antara medan terbaik menilai sokongan pengundi di negeri ini terhadap BN.
Untuk mengharapkan kemenangan barangkali hanya keajaiban yang boleh melakukannya. Namun, BN perlu melihat jauh ke hadapan yang mana PRK Bukit Gelugor ini boleh dijadikan kayu ukur ke arah persediaan menjelang PRU-14.
Politik bukanlah sesuatu yang statik dan Karpal sendiri pernah merasainya dalam jatuh bangun mendiang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.
Sebelum mencatatkan kemenangan besar di kerusi itu, Karpal hanya menang dengan majoriti tipis 1,261 undi dalam pilihan raya 2004.
Ini bermakna, BN bukan tidak mempunyai harapan langsung di kerusi itu dan kemampuan mengurangkan sedikit majoriti sebenarnya pemberi semangat yang cukup besar menjelang PRU-14.
Apatah lagi Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini berdepan pelbagai isu yang mengundang kemarahan penduduk, terbaharu janji tidak menaikkan tarif air tetapi telah dimungkiri.
Kerakusan Kerajaan DAP Pulau Pinang menukar demografi negeri ini kepada sebuah bandar pencakar langit tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar juga mengundang kemarahan banyak pihak.
Ini antara isu yang boleh menjadi duri dalam daging kepada DAP selain isu-isu nasional dalam pakatan pembangkang sendiri.
Malah, DAP sendiri tidak mudah untuk meletakkan calon mereka kerana masih dalam krisis dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berikutan kemelut pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang belum selesai.
Agak menarik untuk melihat bagaimana DAP kelak mahu meletakkan calon mereka dalam keadaan CEC parti itu yang tidak diiktiraf.
Tidak mustahil DAP mungkin terpaksa meletakkan calon mereka atas tiket Bebas.
Dari sudut BN pula, secara tradisinya kerusi Parlimen Bukti Gelugor adalah milik MCA. Ini selari dengan komposisi penduduknya yang majoriti iaitu 74.49 peratus daripada 82,042 pengundi berdaftarnya adalah kaum Cina.
Tetapi seperti yang dijelaskan sebelum ini, politik bukanlah sesuatu yang statik dan begitu jugalah dalam hal penentuan calon BN di kerusi tersebut.
Atas semangat setiakawan dalam parti komponen BN, MCA barangkali boleh merubah sedikit tradisi dengan menyerahkan kerusi tersebut kepada UMNO.
Memang benar komposisi pengundi Melayu di kawasan itu sangat kecil iaitu hanya 11,880 orang. Tetapi jumlah pengundi Melayu ini boleh memberi perubahan besar kepada undi BN jika mengambil kira sokongan orang Melayu yang semakin meningkat terhadap UMNO dalam pilihan raya umum lalu.
MCA pula boleh menggerakkan jentera mereka dengan meyakinkan pengundi Cina untuk memberi sokongan kepada calon UMNO.
Jika jentera mereka bergerak bersungguh-sungguh dan mampu meyakinkan pengundi Cina, jumlah undi yang diterima calon MCA dalam pilihan raya umum lalu, Teh Beng Yeam iaitu sebanyak 14,061 undi tidak mustahil boleh digandakan.
Ini juga melihat kepada corak sokongan masyarakat Cina terhadap BN yang semakin meningkat seperti ditunjukkan dalam PRK DUN Kajang lalu.
Kalau betul tajuk di atas
ReplyDeleteBarulah nampak betul skit tindaln Tok Jib. Kalau betul la.,
MCA nak bertanding ? Ukoq peliaq kulup kt tiang jambatan dulu la Apek wei