Pages

Sunday, September 23, 2012

BACAAN HARI AHAD: KESAH FOTO BOGEL DAN HINA NABI




Dalam dunia ni, tak ada apa pun yang jadi dengan sendirinya melainkan kejadian Allah. Kejadian yang puncanya perbuatan manusia mesti ada asal usul dan ada tindak balas.

Dalam Newton’s Laws of Motion yang diterjemahkan oleh Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai hukum gerakan sejagat Newton ada disebutkan iaitu ‘every action has an equal and opposite reaction.’ 

Pusat Rujukan Persuratan Melayu terjemahkan hukum fizik itu sebagai ‘setiap tindakan sentiasa mempunyai tindak balas yang sama tetapi bertentangan.’ Ini orang yang belajar fizik fahamlah.Jadi, apabila seorang fanatik Kristian Amerika buat filem murahan caci Nabi Muhammad (SAW), tindak balas umat Islam adalah membantahnya. Macam itu juga dengan cerita majalah Perancis, Closer, siarkan gambar bogel Duchess of Cambridge. Keluarga diraja Inggeris saman majalah itu. 

Dalam hal filem yang hina Nabi kita itu, Kunta Kinte minta izin guna istilah kafir. Bukan nak hina sesiapa, tapi bagi mudahkan kefahaman. Lagi pun, kalau kita ikut kefahaman dan pengistilahan Islam, istilah kafir adalah istilah yang betul dan tepat. Quran kata kafir. Quran tak kata bukan Islam.

Ensiklopedia atas talian, Wikipedia pula mentakrifkan kafir sebagai perkataan bahasa Arab yang selalunya diterjemahkan sebagai orang yang tidak mempercayai atau dalam bahasa Inggeris ‘infidel.’

Berkenaan filem The Innocence of Muslims yang jadi punca kemarahan umat Islam itu, Wikipedia, antara lain, berkata “...ia adalah filem anti-Islam.” Ia diterbitkan oleh seorang Amerika bernama Nakoula Basseley Nakoula. Dia ini keturunan Mesir dan penganut Kristian Koptik, iaitu mazhab Kristian kuno yang berpangkalan di Iskandariah, Mesir.
Kita boleh tunjuk perasaan bantah perbuatan pengeluar, pembiaya dan pengedar filem itu. Tapi janganlah sampai ganas. Kita jangan jadi fanatik macam fanatik Kristian yang hina Nabi kita itu. Lebih-lebih lagi, kita jangan jadi fanatik macam sesetengah orang Islam yang buat tunjuk perasan, tapi yang mati saudara seagama. Ini kerja bodoh kelas dunia.

Itulah yang penghasut kafir mahu. Mereka buat filem dan kartun hina Rasulullah. Orang Islam buat bantahan dan yang mati orang Islam sendiri. Itulah jarum beracun musuh-musuh Islam. Mereka guna Islam untuk pecah-belah dan porak-peranda orang Islam.

Satu lagi kita kena ingat, benda macam ini bukan baru. Ia telah banyak kali berlaku dan akan terus berlaku. Sebabnya mudah saja. Orang kafir, khasnya Kristian dan Yahudi, tak terima Nabi Muhammad SAW. Bagi sesetengah yang fanatik, Nabi Muhammad SAW dan Islam adalah musuh nombor satu.

Kalau kita baca sejarah, kita tentu tahu macam mana selama 850 tahun raja-raja Kristian Eropah lancar Perang Salib ke atas Islam di Baitulmaqdis dan sekitarnya. George W Bush pun dengan serta-merta isytihar jihad apabila penyerang-penyerang Arab Saudi melanggar World Trade Center di New York dan Pentagon di Washington DC pada 11 September 2001.

Jadi janganlah sebab marah kepada beberapa kerat pelampau Kristian, kita hilang akal dan nak jadi ganas. Kita jangan ikut sifat ganas orang Amerika dan sekutu mereka, Yahudi yang serang dan takluk negara orang. Pada masa yang sama, kita janganlah bergaduh sesama Islam semata-mata sebab berlainan mazhab dan pegangan politik.

Pasal gambar bogel Duchess of Cambridge dalam majalah Perancis itu, mahkamah Paris dah keluarkan perintah sekat majalah itu daripada terus cetak gambar berkenaan. Bagi Kunta Kinte, inilah maladi atau penyakit masyarakat Barat. Dah tak ada lagi rasa hormat kepada kesendirian (privacy) orang. Semua disensasikan dan dijadikan bahan perniagaan.

Bukan maksud Kunta Kinte nak kata kerana hormat kesendirian individu, kita biarkan mereka buat apa saja. Kalau individu itu orang kenamaan, pemimpin atau orang pujaan macam bintang filem, Kunta Kinte tak salahkan masyarakat kalau ambil tahu hal peribadi mereka. Lagi-lagilah kalau apa yang mereka buat itu tak sopan atau langgar undang-undang.

Dalam masyarakat Barat, bogel hal biasa. Depan khalayak pun boleh bogel. Amalan mandi atau berjemur bogel adalah perkara biasa pada musim panas. Malah ada pantai dan padang dilesenkan khas sebagai koloni bogel (nude colonies).

Di tempat-tempat berkelah awam pun boleh berjemur separuh bogel asalkan tidak dedahkan kemaluan. Orang yang lalu lalang pun tak ambil kisah sebab mereka sendiri buat atau dah jadi kebiasaan.

Cuma yang jadi cerita ialah wanita muda yang bogel itu tak lain tak bukan Catherine ‘Kate’ Middleton, Duchess of Cambridge dan isteri Putera William. Gambar bogel itu dicuri ambil ketika mereka bercuti di wilayah percutian Province, Perancis dan kemudian dijual kepada majalah berkenaan.

Jadi, orang kenamaan, pemimpin atau orang pujaan kenalah berjaga-jaga. Lebih-lebih lagilah sekarang sebab boleh kata dalam poket semua orang ada kamera dan alat pemancar dalam bentuk telefon bimbit. Dah tak ada lagi kesendirian. Wallahualam.

1 comment:

  1. Boleh guna kafir kalau artikel ini khusus untuk bacaan orang ISlam sahaja. Sila buat catatan peringatan seperti "ARTIKEL INI UNTUK BACAAN ORANG ISLAM SAHAJA"

    Kalau semua orang boleh baca termasuklah orang bukan Islam mereka boleh kata kita pun kafir juga(yakni tidak berpegang kepada agama mereka). Mungkin juga boleh menimbulkan sakit hati mereka dan mereka bertambah-tambah menghina agama kita. Bukan semua orang kafir memusuhi orang Islam dan agama Islam. Hak mereka perlu juga kita jaga.



    ReplyDelete

Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.