KOTA BHARU: Akibat terpedaya dengan helah dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai jabatan agama, seorang remaja berusia 16 tahun menjadi mangsa lima lelaki yang merogolnya bergilir-gilir di sebuah rumah kosong di Tanjung Mas, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner, Lai Yong Heng berkata, sebelum dirogol, mangsa bertemu teman lelakinya di bawah Jambatan Tanjung Mas, di sini pada jam 2 pagi dan ketika berbual, dua lelaki datang memperkenalkan diri sebagai pegawai jabatan agama.
Katanya, suspek mengugut mahu membawa mangsa dan teman lelakinya ke balai polis dan pejabat agama kerana melakukan maksiat. “Bagaimanapun, teman lelaki mangsa memberitahu mereka hanya berbual dan tidak melakukan maksiat.
“Suspek menyuruh teman lelaki mangsa pulang manakala mangsa akan dibawa ke balai polis oleh mereka,” katanya.
Menurutnya, mangsa dan teman lelakinya mempercayai kedua-dua suspek kerana melihat mereka mengeluarkan kad namun tidak pasti sama ada kad jabatan agama atau sebaliknya kerana keadaan di bawah jambatan gelap.
“Teman lelaki mangsa pulang ke rumah seorang diri manakala mangsa dibawa dengan motosikal oleh seorang suspek ke sebuah rumah kosong sebelum dirogol bergilir-gilir oleh dua suspek berkenaan dan tiga lagi lelaki tidak dikenali,” katanya.
Lai berkata, semua suspek sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Suspek menggunakan modus operandi menunjukkan kad kuasa palsu jabatan kerajaan untuk merogol. “Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya memastikan terlebih dahulu kad kuasa yang ditunjukkan adalah benar atau sebaliknya dan jika terdapat sebarang keraguan, laporkan terus dengan balai polis berdekatan,” katanya.
Hmetro
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.