KUALA LUMPUR 12 Nov. - Pengerusi Jawatankuasa Terpilih Parlimen, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili hari ini mencuri perhatian banyak pihak apabila secara bersahaja 'membelasah' Datuk S. Ambiga berhubung kedudukannya pada persidangan jawatankuasa itu hari ini.
Beliau bertindak demikian bagi menghalang bekas Presiden Majlis Peguam itu daripada mewakili Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada persidangan jawatankuasa berkenaan kerana pertubuhan itu tidak berdaftar.
Bagaimanapun, Ambiga tetap diberi ruang untuk menyuarakan pandangan secara panjang lebar, tetapi hanya atas sifat peribadinya sebagai rakyat Malaysia, bukan selaku Pengerusi Bersih sebagaimana diharapkannya.
"Saya tidak pernah takut pada Bersih, tetapi Tuhan itu bukan hanya menilai pada perkataan bersih, hati juga kena bersih," kata Maximus sebagai membalas kenyataan Ambiga yang mempersoal adakah beliau takut dengan Bersih.
Terdahulu Ambiga berkata, Maximus tidak perlu takut dengan pertubuhan tersebut kerana perkataan bersih itu membawa maksud yang baik selain badan itu sendiri mewakili suara 80 badan bukan kerajaan (NGO) dalam mengubah sistem pilihan raya negara ini.
Persoalan mengenai penglibatan Bersih dalam persidangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mula timbul apabila ahli jawatankuasa itu, Azmin Ali (PKR-Gombak) mempersoal mengapa Ambiga tidak dibenarkan mewakili Bersih.
Mengulas isu itu, Maximus berkata, memang menjadi ketetapan bahawa hanya badan politik dan NGO yang berdaftar layak mengambil bahagian dan jika tidak, mereka perlu memberi pandangan atas sifat peribadi.
"Ini adalah ketetapan. Bersih tidak berdaftar dan kami tidak boleh menerima pandangan daripada Bersih, tetapi Ambiga boleh memberi pandangan atas kapasiti peribadi. Ia akan direkod sebagai pandangan individu," katanya.- UTUSAN
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.