Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau tidak pernah percaya isu sentimen walaupun semasa pilihan raya umum ke-12, kaum Cina sudah tidak lagi menyokong kerajaan.
"Di Batu Sapi yang mempunyai majoriti Cina, kita telah 'double up' kita punya majoriti dan ini adalah satu yang di luar dugaan. Kita nampak jelas sekali manifestasi pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina telah memberikan kemenanganyang amat besar di Batu Sapi dan juga di Galas," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Deepavali Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang Datuk V.S. Mogan di Rantau, pada Jumaat.
Kemenangan ini juga membuktikan pengundi muda sudah kembali kepada kerajaan kerana mereka ini hanya akan menyokong pihak yang benar dan yang mampu membela nasib mereka.
Beliau juga melihat rakyat sudah mula menolak politik ekstrem dan ganas yang sering dimainkan oleh parti pembangkang. Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kemenangan BN pada kedua-dua pilihan raya itu semalam menunjukkan kematangan rakyat dalam membuat pilihan.
Ahmad berkata walaupun mempunyai pilihan, nyata rakyat khususnya pengundi di situ tidak terpengaruh dengan hasutan dan permainan politik sempit bersifat peribadi yang boleh menghancurkan negara, yang diamalkan sesetengah pihak.
"Ia membuktikan mereka (rakyat) ingin bersama-sama nikmati kemajuan dalam suasana aman dan harmoni yang telah dikecapi selama ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Jumaat.
Mengulas lanjut beliau berkata kemenangan itu juga sebagai tanda sokongan rakyat di kedua-dua kawasan itu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ia juga isyarat perpaduan dan pembangunan rakyat keseluruhannya di bawah konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri mendapat sokongan rakyat," katanya.
Sementara itu di SARAWAK, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata kemenangan berganda itu membuktikan lebih ramai rakyat kini memberi sokongan terhadap kepimpinan Najib.
Abdul Taib berkata berdasarkan keputusan itu juga menunjukkan kredibiliti pembangkang kini kian merudum.
"Kini ramai yang menyedari bahawa terdapat perubahan besar selepas kepimpinan negara diambil alih oleh Perdana Menteri yang baru (Najib)," katanya kepada pemberita sebelum mengadakan mesyuarat tertutup dengan anggota Persatuan Suku Tiang Chuan di Miri.
Sejak mengambil alih kepimpinan negara, katanya Najib telah menunjukkan kebolehannya untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan yang sekali gus membantu meningkatkan keyakinan rakyat.
Beliau berkata Najib menggunakan cara imaginatif untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan ia menjadi salah satu faktor mengapa semakin ramai rakyat kini memberi undian kepada BN.
SS
No comments:
Post a Comment
Anda semua dialu-alaukan meninggalkan pandangan dan komentar di blog ini. Setiap satu darinya adalah tanggungjawab anda dan kami tidak akan bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang akan diambil jika komentar tersebut menyalahi undang-undang.